Hayati hikmah peristiwa Nuzul al-Quran

Nik Omar Nik Abdul Aziz
Nik Omar Nik Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Sempena sambutan Nuzul al-Quran, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru seluruh umat Islam menghayati hikmah yang terkandung menerusi peristiwa itu dan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya.

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, agama Islam menjadi agama yang menekankan pentingnya penghayatan dan kesedaran umatnya berbanding memaksa menjalankan ritual-ritual keagamaan tanpa disertai dengan pemahaman yang secukupnya terhadap pesanan kandungan al-Quran dan sunnah Nabi.

"Umat Islam disarankan tidak terperangkap dengan retorik dan slogan indah yang tidak berpijak di alam nyata dan pada masa yang sama kita mengalami kekosongan dalam memahami isi kandungan al-Quran dan Sunnah itu sendiri," katanya menerusi satu kenyataan akhbar, semalam.

Katanya lagi, ada segelintir daripada kalangan kita sibuk dengan ritual-ritual keagamaan seperti tidak pernah terlepas sembahyang lima waktu, rajin puasa sunat Isnin dan Khamis, menyokong kehidupan Islamik, akan tetapi pada masa yang sama mereka melanggar dan menyeleweng daripada prinsip dan kandungan al-Quran.

"Ia seperti taksub kepada kumpulan dan pemimpin tertentu, suka mengkafir dan menyesatkan orang Islam lain, tidak menghargai perbezaan pendapat, bertindak zalim, memfitnah, pecah amanah, rasuah dan sikap negatif yang lain.

"Bersempena Nuzul al-Quran ini, Yadim mengharapkan slogan kembali kepada al-Quran dan sunnah dijadikan sebagai hujah untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira pegangan mazhab, aliran keagamaan dan pegangan politik," katanya.

Tambahnya, umat Islam harus berhati-hati agar mereka tidak menjadi ejen kepada perpecahan umat.

"Sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran yang begitu luas yang memungkinkan berlakunya khilafiah," katanya.

Artikel Berkaitan: