Rapat jurang anak muda dengan al-Quran

Ahli Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Damansara Damai bersama penduduk sekitar memegang plakad World #QuranHour tanda sokongan kepada program itu di Damansara baru-baru ini. - FOTO: ZAHID IZZANI
Ahli Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Damansara Damai bersama penduduk sekitar memegang plakad World #QuranHour tanda sokongan kepada program itu di Damansara baru-baru ini. - FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

DAMANSARA - Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Damansara Damai komited menganjurkan pelbagai program keagamaan bertujuan mendekatkan golongan muda dengan al-Quran.

Timbalan Pengerusinya, Mohamad Syafiee Ambok Dalek berkata, mereka mahu mengajak dan mendidik anak muda supaya mesra dan selalu berkunjung ke masjid.

Menurutnya, anak muda meskipun kuat fizikalnya namun mereka juga perlu kuat agamanya agar dapat menjadi pelapis kepada generasi masa depan.

“Cabaran semasa mahu mengajak mereka sememangnya ada. Pokok pangkalnya pada semangat yang kita beri kepada mereka. Nak ajak mereka, perlu menjadi kawan mereka terlebih dahulu.

“Kemudian kita beri penerangan dan pemahaman, praktikkan supaya mereka betul-betul faham. Selepas itu, barulah mereka boleh menjadi pelapis kepada generasi akan datang,” katanya pada Majlis Buka Puasa dan Quran Hour: Pemuda al-Kahf di Masjid Al-Muhtadin, Damansara Damai di sini baru-baru ini.

 Mohamad Syafiee Ambok Dalek
Mohamad Syafiee Ambok Dalek

Program yang dihadiri hampir 500 peserta itu turut berkongsi kisah pemuda taat dalam surah al-Kahf yang disampaikan Timbalan Nazir Masjid Al-Muhtadin, Abdul Nasir Hassan.

Mohamad Syafiee berkata, pihaknya juga sebelum ini bekerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan program kali ini merupakan sebahagian usaha menyambut World #QuranHour pada 30 Mei depan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan anak muda yang saya jumpa, mereka boleh membaca al-Quran namun tidak begitu lancar kerana sudah lama mereka tinggalkan. Jadi, usaha sebegini diharap mampu mendekatkan mereka dengan kalam ALLAH SWT itu,” ujarnya.

Abdul Nasir Hassan
Abdul Nasir Hassan

Sementara itu, Abdul Nasir berpendapat, penting untuk pemuda mendekatkan diri dengan Islam supaya mereka akan selamat dunia dan akhirat seperti pemuda yang diceritakan dalam surah al-Kahf.

“Berdasarkan surah tersebut boleh dikatakan untuk melihat kekuatan generasi akan datang perlulah melihat kekuatan iman pemuda masa kini.

“Pemuda yang akan mewarisi negara. Mereka berpegang kepada perkara ditetapkan ALLAH dan tidak akan gentar walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.

Jelasnya, untuk sampai ke tahap itu, kekuatan iman dalam hati pemuda perlu digarap awal supaya daripada peringkat remaja, mereka memahami dan dekat dengan al-Quran.

“Bila dekat dengan al-Quran, kekuatan iman akan terus datang. Siapa pun mendampingi al-Quran akan dapat cari jalan terbaik untuk pelbagai perkara,” katanya.