Operasi bersepadu gempur awang hitam

Samsor Maarof
A
A

GOMBAK - Polis akan melaksanakan operasi bersepadu dalam tempoh terdekat di kawasan pangsapuri Desa Aman Puri, Kepong di sini bagi mengesan warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya mengumpul maklumat daripada pemantauan serta risikan sebelum tindakan bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kita sedia maklum kawasan itu dipenuhi pendatang asing warga Afrika.

“Operasi ini memerlukan perancangan serta persediaan rapi dari segi keanggotaan dan sebagainya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menjalankan pemantauan berkala menerusi rondaan polis bermotosikal.

Kata beliau, pihaknya juga sentiasa berhubung dengan wakil persatuan penduduk dalam memastikan keselesaan mereka di kawasan kediaman mereka.

Penduduk Desa Aman Puri juga diminta tampil membuat aduan jika ada sebarang kejadian jenayah dan kelakuan tidak bermoral yang berlaku di kawasan kediaman mereka.

Baru-baru ini, media melaporkan, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengarahkan tindakan segera diambil terhadap sekumpulan warga Afrika di Desa Aman Puri, Kepong yang menimbulkan masalah dan kekecohan di kawasan itu.

Terdahulu, negara digemparkan dengan kejadian penemuan mayat ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, di sebuah kondominium di Cyberjaya, 15 Mei lalu, dengan kesan kelaran di dada, kepala dan leher.

Susulan itu, polis menahan reman tiga warga asing terdiri daripada dua warga Nigeria serta seorang warga Pakistan.

Pada 10 Mei lalu, polis menerima laporan pada jam 4.20 petang mengenai kehilangan Siti Kharina. Mangsa ini dipercayai telah keluar rumah pada 9 Mei, namun tidak pulang ke rumah di Kampung Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.