Perginya pejuang bola sepak negara
KUANTAN - Nama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah begitu 'sebati' dengan sukan bola sepak kerana minat yang terlalu mendalam menyebabkan baginda mengabdikan diri dalam pembangunan sukan bola sepak negara.
Sejak mula menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 12 Ogos 1984, baginda tidak pernah jemu membangunkan sukan bola sepak, meskipun semasa skuad bola sepak negara menerima pelbagai kritikan.
Malah, dedikasi baginda terhadap badan induk bola sepak negara membolehkan baginda mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding untuk beberapa kali, antaranya bagi penggal 2001-2003, 2007-2010, 2010-2014.
Sebagai individu nombor satu di FAM, almarhum sentiasa optimis skuad Harimau Melaya dapat kembali 'mengasah taring' di persada antarabangsa walaupun perit untuk menerima kedudukan tangga ke-159 pada ranking bola sepak dunia pada tahun 2013.
Almarhum teguh berdiri di belakang skuad bola sepak negara dan menasihatkan rakyat untuk tidak berputus asa, sementara pihak berkepentingan pula diingatkan untuk mencari formula bagi memastikan ranking itu tidak terus mengalami kemerosotan mendadak.
Reputasi almarhum sebagai Presiden FAM bagaimanapun agak 'tercalar' apabila sekumpulan penyokong skuad Harimau Malaya mendesak baginda untuk berundur dan memberi laluan kepada muka baharu yang dilihat mempunyai lebih banyak idea segar. Desakan itu semakin kuat apabila Malaysia tewas pada tahun 2013, ekoran kekalahan skuad bola sepak negara pada Piala Suzuki AFF, namun almarhum tetap tenang dan menegaskan tidak akan berundur selagi khidmatnya diperlukan.
Desakan itu semakin kuat pada pemilihan pemilihan sempena Kongress FAM ke-50 bagi pemilihan untuk penggal 2014-2018, dan spekulasi terus menyelubungi sama ada baginda akan terus menerajui badan induk itu atau melepaskan jawatan itu.
Sikap 'gentleman' baginda terserlah apabila secara terbuka mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk mencabarnya, termasuklah semasa anakandanya Tengku Abdullah (kini Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang menerima sokongan ahli gabungan FAM untuk dicalonkan sebagai Presiden.
Bagaimanapun, kasih ayah dalam diri almarhum terserlah apabila mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan Al-Sultan Abdullah dipilih untuk meneruskan perjuangan ayahandanya apabila memperoleh undi majoriti dua pertiga, menewaskan pencabarnya Tengku Mahkota Johor Tengku Ismail Sultan Ibrahim.
Tidak hanya berbakti dalam pasukan bola sepak negara, Sultan Ahmad Shah aktif menabur jasa di persada antarabangsa dan pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketujuh dari 13 Mei 1994 hingga 10 Mac 2002. Di bawah pentadbiran baginda, Asia berjaya menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA di Jepun dan Korea Selatan pada tahun 2002, yang merupakan suatu sejarah kerana buat julung kalinya penganjuran kejohanan bola sepak nombor satu itu dilakukan secara bersama oleh dua negara.
Selain itu, baginda dipilih sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada 10 April 2011, dan 'kapasiti' itu digunakan sepenuhnya untuk mengukuhkan hubungan negara-negara di rantau ini menerusi sukan bola sepak.
Sebagai mengiktiraf sumbangan baginda yang mengangkat martabat sukan itu ke tahap yang lebih tinggi, Sultan Ahmad Shah menerima Anugerah Muhibbah ASEAN yang julung kalinya diadakan pada 4 April 2013.
Sikap kemanusiaan dan dermawan almarhum juga 'disatukan' dalam sukan itu dengan penubuhan Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN untuk mengumpul dana berjumlah AS$100,000 kepada mangsa bencana taufan Bopha yang melanda pulau-pulau Mindanao di Filipina, pada 2012.
Pengiktirafan demi pengiktirafan antarabangsa diterima baginda termasuk Aungerah Berlian AFC pada 23 November 2011, yang diberikan kepada individu yang memberikan sumbangan ke arah pembangunan dan promosi bola sepak di benua Asia.
Penglibatan baginda turut mendapat perhatian FIFA, apabila menerima anugerah berprestij FIFA - 'Order of Merit' - pada hari pembukaan Kongres ke-62 badan bola sepak antarabangsa itu di Budapest, Hungary pada 2012. - Bernama