Why Leong tidak sembunyikan diri

Loo Why Leong
Loo Why Leong
A
A
A

KUANTAN - DAP Pahang hari ini menafikan Pengerusi DAP Jerantut, Loo Why Leong menghilangkan diri dan keluar dari daerah ini untuk bersembunyi daripada diambil tindakan.

Setiausaha DAP negeri, Lee Chin Chen berkata, pengerusi DAP tersebut masih berada di daerah itu dan tidak menghilangkan diri selepas ditahan sebelum dibebaskan polis kelmarin.

Menurutnya, Why Leong tidak dapat dihubungi sebelum ini kerana telefon bimbitnya diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.

“Selepas melihat kenyataan saya mengenai kes tersebut beliau telah pun menghubungi saya petang kelmarin berbincang mengenainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Why Leong gagal dihubungi selepas dibebaskan

"Dia (Why Leong) tidak bersembunyi... dia tidak dapat dihubungi kerana telefon bimbitnya telah diserahkan kepada pihak polis.

“Dia memberitahu kepada saya bahawa dia akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan di pihak kita, kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Why Leong dilaporkan ditahan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut kelmarin bagi membantu siasatan selepas dikatakan mengugut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan pada Khamis lalu.

Difahamkan, laporan polis dibuat Mazlan pada Jumaat lalu selepas menerima mesej berbaur ugutan yang didakwa daripada Why Leong menerusi aplikasi WhatsApp.

Artikel Berkaitan:

Polis mengesahkan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah berhubung kes berkenaan.