‘Kami mahu bekalan elektrik’

Itam dan Saodah hanya menggunakan lilin sepanjang hidup mereka.
Itam dan Saodah hanya menggunakan lilin sepanjang hidup mereka.
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk orang asli di Pos Hendrop, di sini masih belum menikmati bekalan elektrik biarpun berada di pinggir jalan utama Gua Musang-Lojing.

Masalah tersebut membelenggu sebanyak 971 penduduk di pos penempatan tersebut melibatkan 250 buah rumah terdiri daripada lapan kampung.

Kampung di bawah pentadbiran pos ini ialah Kampung Layer, Kampung Rek Rek, Kampung Palok, Kampung Sentok, Kampung Hendrop, Kampung Plug, Kampung Sedau dan Kampung Temarik.

Biarpun laluan sepanjang 20 kilometer dari Pos Hendrop ke Pos Tuel sudah diturap sejak awal tahun lalu, namun mereka memerlukan bekalan elektrik bagi meneruskan kelangsungan hidup seperti orang lain.

Ketua kampung, Bidi Ronggeng berkata, sudah tiba masanya mereka menerima kemudahan bekalan elektrik kerana sudah sekian lama bergantung kepada jana kuasa elektrik (generator).

Katanya, setiap rumah memerlukan sebuah jana kuasa untuk menjana elektrik namun bagi yang tidak berkemampuan, mereka masih bertemankan cahaya lilin dan pelita.

“Untuk mendapatkan jana kuasa, paling murah adalah RM400. Namun, kelemahan jana kuasa murah, ia hanya mampu bertahan lima hingga enam bulan sahaja.

“Bagi yang harga RM900, boleh bertahan sehingga lebih setahun tetapi ia belum merangkumi modal untuk menghidupkan jana kuasa yang mana sebulan, kami membelanjakan hingga RM200 untuk belian petrol.

Artikel Berkaitan:

“Penempatan kami hanya terletak di pinggir laluan utama tetapi pos-pos lain yang berdekatan seperti Pos Mendrod, Pos Brooke dan Pos Sangwai, sudah memiliki kemudahan itu. Kenapa hak kami dinafikan?” soalnya.

Sementara itu, Pos Hendrop merupakan salah satu pos penempatan masyarakat orang asli yang mempunyai bilangan penganut agama Islam paling ramai di daerah ini.

Lebih 80 peratus daripada penduduknya beragama Islam dan menjalani ibadat puasa sama seperti masyarakat Melayu Islam.

Selain masjid, penempatan ini juga memiliki kemudahan sekolah bagi memastikan anak-anak orang asli di beberapa pos pedalaman sekitar menikmati pendidikan.

Bagaimanapun, Imam Masjid Al Hidayah Pos Hendrop, Aris Rami, 49, berkata, tahun demi tahun, masalah bekalan elektrik masih belum menemui jalan penyelesaian.

Katanya, kesukaran itu berganda apabila tiba bulan Ramadan kerana dia perlu bangun seawal jam 3 pagi untuk menghidupkan jana kuasa terlebih dahulu.

“Kita perlu memperuntukkan kos yang tinggi melalui jana kuasa. Bila bulan puasa, kos ini meningkat kerana banyak program di masjid.

“Apabila ia rosak, kita tidak dapat melakukan tugas dan setiap tahun, dua jana kuasa diperlukan kerana ia tidak tahan lama.

“Bukan sahaja di masjid, malah di sekolah dan kuarters guru juga menggunakan cara yang sama. Sampai bila kami perlu meneruskan kesukaran ini,” katanya.GUA MUSANG60 tahun guna lilin

Bagi pasangan warga emas ini, mereka tidak pernah merasai kemudahan bekalan elektrik seumur hidup.

Menurut Itam Along, 60, dia hanya mampu memandang kipas yang dipasang melengkapi binaan rumah namun tidak pernah sekalipun kipas tersebut berpusing.

Katanya, dia dan isteri, Saodah Alang, 56, hanya bertemankan cahaya lilin sejak dahulu hingga kini.

“Saya nak juga melihat kipas berpusing dan sambil baring, saya boleh menikmati kemudahan itu. Nak beli enjin, saya tidak mampu.

“Guna lilin sahaja pun, sudah mencecah kos RM150 sebulan. Setiap bulan, kami perlukan 20 kotak lilin untuk menemani malam.

“Walaupun rumah dibina dengan kemudahan lampu dan kipas, namun kami hanya mampu tengok sahaja,” katanya.

Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati, lebih 50 rumah tidak pernah memiliki jana kuasa dan hanya mengharapkan lilin serta pelita sahaja sepanjang malam.