Nikmati kekayaan bersama: Aminuddin

Aminuddin ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2019, semalam. - Foto:Bernama
Aminuddin ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2019, semalam. - Foto:Bernama
A
A
A
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan belanjawan berimbang yang berjumlah RM430 juta pada 2019 berbanding RM412 juta pada 2018 meliputi belanjawan mengurus dan belanjawan pembangunan.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, anggaran belanjawan itu adalah pertambahan sebanyak 4.37 peratus atau RM18 juta daripada anggaran pada 2018.

"Manfaat daripada pelbagai usaha untuk memperkayakan hasil ini, maka sewajarnyalah kekayaan itu dimakmurkan untuk dinikmati bersama oleh semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan daerah.

"Maka itu, Belanjawan Negeri Sembilan 2019 telah dirancang dengan penuh teliti bagi menjamin kemakmuran yang lebih menyeluruh kepada seluruh rakyat.

Kerajaan akan memastikan setiap perbelanjaan mampu memberi pulangan atau nilai tambah dan seterusnya meningkatkan produktiviti negeri.

"Untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM430 juta bagi Anggaran Belanjawan Mengurus Tahun 2019 iaitu Emolumen RM169.25 juta, perkhidmatan dan bekalan RM90.19 juta, perolehan aset RM3.38 juta, pemberian dan kenaan tetap RM160.13 juta dan perbelanjaan lain RM7.05 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2019 pada Sidang Dun ke-14 semalam.

Aminuddin berkata, adalah menjadi agenda kerajaan untuk memastikan negeri ini terus berdaya saing di bawah pentadbiran baharu melalui pelan pembangunan yang terancang dan menyeluruh.

"Bagi meneruskan lagi agenda pembangunan tersebut, kerajaan mencadangkan Anggaran Belanjawan Pembangunan Tahun 2019 sebanyak RM116.9 juta iaitu kenaikan sebanyak RM1.14 juta ataupun 1 peratus berbanding 2018.

"Jumlah ini adalah peruntukan pembangunan terbesar yang pernah dicatatkan untuk tempoh lebih lima tahun.
Artikel Berkaitan:


"Peruntukan pembangunan 2019 mengikut sektor adalah seperti pembangunan sosial RM41.59 juta, kemudahan infrastruktur RM23.01 juta, pentadbiran RM17.01 juta, pertanian RM15.95 juta, kerohanian RM10.94 juta dan pelancongan RM8.4 juta ," katanya.

Aminuddin yang juga Adun Sikamat berkata, berdasarkan kepada strategi belanjawan yang telah dibentangkan, kerajaan negeri menganggarkan akan berlaku peningkatan hasil sebanyak RM18 juta atau 4.37 peratus, menjadi RM430 juta pada 2019 berbanding RM412 juta pada 2018.