Peniaga jangan ambil kesempatan di musim perayaan: KPDNHEP

A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan peniaga supaya menjual barangan harga kawalan tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun katanya, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.

"Para peniaga juga diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan bagi Pemantauan Pematuhan Harga Maksimum di Pasaraya Aeon Big Mid Valley, di sini hari ini.

Katanya, dalam usaha melindungi pengguna, kementerian itu turut meningkatkan keberadaan pegawai-pegawai penguatkuasa di tempat-tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan ada di mana-mana.

"Ini bertujuan mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika melalui kehadiran pegawai penguatkuasa. Kita juga turut memperkukuhkan pemantauan harga dengan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak.

"Antara pihak tersebut adalah Pegawai Pemantau Harga yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di seluruh negara di bawah kementerian dan Friends Of KPDNHEP (FOK) yang merupakan mata dan telinga kementerian," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, beliau yakin pelaksanaan skim tersebut akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing.

"Selain itu, kementerian telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga. Kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

"Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my; Call Centre 1800 886 800; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; aplikasi telefon pintar Ez ADU; Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088; talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); Whatsapp ke 019- 279 4317 dan lapor atau hadir ke mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia