15 syarikat Malaysia pamer kepakaran di Pameran Udara Paris

A
A

FRANKFURT - Lima belas syarikat Malaysia akan mempamerkan produk dan perkhidmatannya dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa di Pameran Udara Paris dari 17 hingga 23 Jun depan.

Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Frankfurt, Badrul Hisham Hilal berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke pameran udara itu dan merasmikan Pavilion Malaysia.

Leiking, yang akan diiringi pegawai kanan kerajaan, dijangka menyampaikan ucapan pada seminar makan tengah hari bersempena pameran udara, yang akan dianjurkan bersama oleh Matrade dan Persatuan Industri Aeroangkasa Perancis (GIFAS).

Menteri itu juga akan melawat kilang enjin pesawat Safran Aircraft Engines berhampiran Paris, kata Badrul Hisham kepada Bernama dalam temu bual di sini.

Safran mempunyai kilang sistem pendaratan di Sendayan, Negeri Sembilan yang menyediakan brek untuk 140 syarikat penerbangan di rantau ini. Kilang itu kini menghasilkan 350 tan karbon, satu per lima daripada brek karbon di dunia, dan ia menghasilkan 10,000 penyejuk haba setahun untuk beberapa pesawat.

Malaysia telah menyertai Pameran Udara Paris dwitahunan itu sejak 2015.

Badrul Hisham telah menyelaraskan dengan penganjur pameran udara itu bagi penyertaan Malaysia dan melakukan perjalanan ke Paris untuk "memenuhi sebarang kekurangan".

Mengenai eksport alat ganti dan komponen aeroangkasa Malaysia, beliau berkata ia terus berkembang sejak beberapa tahun lepas, meningkat kepada RM8.48 bilion pada 2018 (2014: RM 2.8 bilion).

"Dalam tempoh empat tahun lepas, eksport Malaysia telah meningkat dengan ketara... terima kasih kepada peranan aktif yang dimainkan oleh syarikat Malaysia dalam industri aeroangkasa global," katanya.

Beliau berkata terdapat kira-kira 230 syarikat yang terbabit dalam pelbagai aspek dalam sektor aeroangkasa di Malaysia, terutamanya dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

"15 syarikat Malaysia akan mempamerkan keupayaan dan kecekapan mereka serta mengetengahkan infrastruktur Malaysia yang maju dan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan perdagangan dalam industri aeroangkasa.

"Kerajaan telah mengenal pasti aeroangkasa sebagai industri strategik yang mempunyai potensi untuk memajukan perindustrian dan kemajuan teknologi Malaysia," katanya.

Badrul Hisham berkata syarikat Malaysia berada di barisan hadapan beberapa pasaran, termasuk dalam pembuatan komposit aero, serta reka bentuk dan pembuatan komponen pesawat.

"Kerjasama dengan rakan-rakan Eropah akan memberi manfaat kepada rantaian bekalan Malaysia, dan mendorong penerapan teknologi canggih, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana," katanya sambil menambah Malaysia berusaha untuk menjadi hab aeroangkasa serantau, dengan sasaran pendapatan tahunan sebanyak RM55.2 bilion dan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Selain Safran, lain-lain peneraju utama aeroangkasa global terkemuka di Malaysia ialah Airbus, Spirit AeroSystems, GE Engine Services Malaysia, dan UTC Aerospace System.

Badrul Hisham berkata syarikat Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam Pameran Udara Farnborough 2020 dan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di Aeromart Montreal 2019 dan Aeromart Toulouse 2018. -Bernama