Kuota Matrikulasi: Unisza, UMT sokong kenyataan Menteri Pendidikan

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyokong kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung keputusan mengekalkan kuota 90 peratus kemasukan Bumiputera ke dalam program matrikulasi.

Naib Canselor UniSZA, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kuota peruntukan pelajar Melayu dan Bumiputera perlu dikekalkan dan ditambahbaik demi keperluan semasa.

"Ia juga selaras dengan faktor sosio-ekonomi di mana Melayu dan Bumiputera masih jauh ketinggalan dari segi pendapatan. Kita tidak boleh biarkan kaum majoriti negara ini terus ketinggalan dalam semua sektor berbanding kaum lain

"Menteri Pendidikan juga begitu prihatin terhadap golongan B40 yang majoritinya juga adalah Melayu dan Bumiputera maka tidak salah mengekalkan kuota itu dengan beberapa penambahbaikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman pula berkata, pihaknya berterima kasih dengan kerajaan yang mengambil keputusan bijak dalam meningkatkan bilangan pengambilan ke matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 tempat pada tahun ini.

"Pendirian tegas mengenai kuota ini dibuat kerana apa diputuskan Menteri Pendidikan dan kerajaan adalah sesuatu yang selari dengan perlembagaan negara selaras untuk menjadikan Malaysia sebuah negara inklusif dan saksama apabila semua warga mempunyai peluang untuk meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi mereka.

"Kemasukan pelajar ke universiti di peringkat diploma dan sarjana muda adalah berdasarkan merit pelajar, berikutan itu ia tidak perlu dipolitikkan oleh sesetengah pihak," katanya.

Menurutnya, justeru, UMT menyeru supaya cubaan sesetengah pihak yang cuba merangsang sentimen kebencian antara kaum perlu dihentikan segera.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya perkara ini tidak dikawal dan dibendung dengan segera, ini akan menggugat keharmonian dan perpaduan serta menghakis toleransi antara kaum di negara ini," katanya. - Bernama