Legenda F1 Niki Lauda meninggal dunia

Niki Lauda meninggal dunia pada usia 70 tahun. - FOTO AFP
Niki Lauda meninggal dunia pada usia 70 tahun. - FOTO AFP
A
A
A

VIENNA - Pemandu legenda Formula One (F1) Niki Lauda dilaporkan meninggal dunia semalam pada usia 70 tahun.

Menurut jurucakap keluarga, juara F1 tiga kali dari Austria itu meninggal dunia pada Isnin dikelilingi ahli keluarga.

"Pencapaian hebatnya sepanjang bergelar pemandu F1 serta semangat kental dan keberaniannya akan terus dikenang," kata kenyataan ahli keluarga Lauda.

Lauda yang menjalani pembedahan paru-paru tahun lalu dan dimasukkan ke hospital sekali lagi pada Januari akibat flu telah lama berdepan masalah kesihatan ekoran kemalangan ngeri ketika perlumbaan di litar Nurburgring, Jerman pada tahun 1976.

Beliau yang bersama pasukan Ferrari ketika itu gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh pagar pada kelajuan 200 kilometer sejam.

Dimasukkan ke hospital dengan kecederaan parah, Lauda kembali bangkit dan hanya 42 hari selepas nahas beliau kembali berlumba dan berjaya memenangi tempat keempat Grand Prix Itali di Monza.

Lauda meneruskan kejayaan cemerlang dengan memenangi dua lagi kejuaraan dunia pada tahun 1977 dan 1984 setelah meraih kejayaan F1 pertamanya pada 1975.

Ketika menamatkan kariernya pada tahun 1985, Lauda telah menyertai 171 perlumbaan F1 dengan rekod 25 kemenangan dan menaiki podium sebanyak 54 kali. - Agensi

Artikel Berkaitan: