Penulisan dan tatasusila insan

A
A
A

DALAM senarai Sembilan Teras Pencapaian Setahun Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Pakatan Harapan, teras kesembilan ialah berkaitan dengan pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera.

Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 natijah daripada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III berperanan menggerakkan 'kesaktian lidah rakyat', dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia.

Antara peranannya adalah untuk membangunkan potensi bakat penulis muda daripada pelbagai latar belakang pendidikan, keturunan dan sosioekonomi.

Program Minggu Penulis Remaja (MPR) telah dibangunkan pada tahun 1985. Objektif utamanya adalah untuk mengilhamkan harapan kepada anak muda remaja bahawa bakat dan potensi mereka dalam bidang bahasa, sastera dan penulisan perlu diketengahkan.

Program seperti ini dapat memastikan kesinambungan wibawa Sasterawan Negara yang hebat seperti Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, dan Arena Wati terus mekar di negara ini.

Kini, 34 tahun kemudian, kumpulan pertama yang lahir daripada didikan itu bukan saja telah berjaya menjadi penulis terkenal, ia juga memberi inspirasi kepada ramai penulis muda.

Program sokongan untuk anak-anak muda seperti Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK), Program Pembinaan Bakat Tunas Muda, Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja dan Program Pembinaan Bakat Siswa diteruskan saban tahun.

DBP turut mengadakan program Minggu Penulis Kanak-kanak atau MPKK untuk kanak-kanak sekolah rendah.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dijalinkan melalui Program Pembinaan Bakat Tunas Muda (untuk sekolah rendah) dan Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja.

Memperkaya

Program Pembinaan Bakat Siswa yang turut diadakan mulai tahun 2008 hingga kini melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi.

Program ini selaras dengan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Ia turut memperkaya dan memperhebat khazanah penyelidikan bahasa dan persuratan Melayu serta meningkatkan kepakaran ilmuwannya.

Para penyumbang menulis dari seberang laut dan menghantar karya mereka untuk diterbitkan dalam majalah DBP seperti Dewan Siswa dan Tunas Cipta.

Inilah dua majalah yang menjadi wahana utama anak-anak muda mengasah bakat dalam dunia penulisan.

Ini juga menjadi sumber pendapatan pasif kepada mereka. Umpama serampang dua mata, mengisi bakat di samping mengisi saku.

Begitulah simbiotiknya DBP dengan anak-anak muda dalam mengembangkan bakat penulisan mereka.

Pada 15 Mei 2019, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah menyampaikan ucapan pada Festival Guru Malaysia 2019 kepada para guru dan pempamer (exhibitors) sebagai penghargaan kepada guru di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Beliau menekankan betapa ideologi terror (keganasan) atau ekstremisme mesti dihadapi dengan pendidikan manusiawi berasaskan kasih sayang, kebahagiaan dan sikap saling hormat.

Jika mereka mengasihi negara, keluarga, diri dan komuniti tempatan mereka, mereka tidak akan terjebak dalam perangkap ekstremisme.

Bila seseorang tiada kasih sayang dan kebahagiaan, senang dipengaruhi oleh radikalisme dan ekstremisme, tegasnya lagi.

Latihan penulisan kreatif yang berasaskan akhlak mulia serta ketatasusilaan insan dapat mengasah bakat penulis untuk beramal salih serta memberi inspirasi kerahmatan kepada pembaca.

DBP adalah antara institusi negara yang bertanggungjawab merealisasikan tugas yang amat mencabar dan mulia ini.

* Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP