PPPNP pilih empat kampung angkat orang asli

Yahanis (enam kanan) menyampaikan sumbangan kepada masyarakat orang asli di Kampung Sungai Perah, Parit, pada majlis tersebut baru-baru ini.
Yahanis (enam kanan) menyampaikan sumbangan kepada masyarakat orang asli di Kampung Sungai Perah, Parit, pada majlis tersebut baru-baru ini.
A
A
A

PARIT - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memilih empat perkampungan orang asli di negeri ini sebagai kampung angkat dalam menyahut saranan Kerajaan Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya berkata, empat perkampungan orang asli tersebut adalah Kampung Sungai Perah Parit, Kampung Lawai Sungai Siput, Kampung Sungai Pelawan Sungai Manik dan Kampung Batu 14, Jalan Pahang, Tapah.

"Projek kampung angkat ini melibatkan semua warga kerja PPPNP daripada ibu pejabat serta ladang-ladang PPPNP yang berdekatan dengan penempatan orang asal ini.

"Sejajar dengan hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, PPPNP akan sentiasa komited membela nasib masyarakat orang asli dengan tidak hanya menghulurkan bantuan secara ‘touch and go’ sahaja," katanya selepas hadir pada Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat orang asli di Kampung Sungai Perah, di sini baru-baru ini.

Menurut Yahanis sebagai langkah menyeru saranan berkenaan, PPPNP mengambil inisiatif menganjurkan majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan kotak bantuan makanan kepada masyarakat orang asli berkenaan.

"Sebagai permulaan kita anjurkan program ini di dua buah perkampungan orang asli suku kaum Semai dan Temiar di Kampung Sungai Perah, Parit dan Kampung Lawai, Sungai Siput.

"Program ini diadakan secara serentak di dua kampung ini melibatkan kira-kira 60 warga kerja PPPNP dengan perjalanan yang mengambil masa selama satu jam ke Kampung Sungai Perah dan dua jam ke Kampung Lawai," katanya.

Yahanis berkata, aktiviti yang dilakukan di kedua-dua kampung berkenaan adalah acara gotong-royong menyembelih, melapah lembu dan kambing diikuti dengan aktiviti memasak juadah berbuka puasa.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti gotong-royong ini melibatkan seluruh penduduk kampung orang asli tanpa mengira perbezaan agama dan saya lihat program seperti ini dapat meningkatkan perpaduan dan mengeratkan silaturrahim antara warga kerja PPPNP dengan seluruh penduduk kampung.

"Dalam majlis ini juga, seramai 174 ketua keluarga dari Kampung Sungai Perah dan 30 ketua keluarga dari Kampung Lawai menerima kotak bantuan makanan PPPNP yang dijangka mampu menampung keperluan selama sebulan," katanya.