‘Setiap hari mesti licin’

Orang ramai membeli nasi beriani Basir di bazar Pekan Parit Betak. Gambar kecil, nasi beriani gam bersama lauk ayam air tangan Basir laku keras sepanjang Ramadan.
Orang ramai membeli nasi beriani Basir di bazar Pekan Parit Betak. Gambar kecil, nasi beriani gam bersama lauk ayam air tangan Basir laku keras sepanjang Ramadan.
A
A
A

PONTIAN - Sedap dan harga pula murah. Itu tawaran dua peniaga bazar Ramadan Parit Betak di sini kepada pelanggan mereka.

Tak perlu kain rentang dan nama unik sebagai strategi, cukup makanan atau minuman yang dijual dibuat dengan penuh ‘kasih sayang’.

Peniaga nasi beriani gam, Basir Hasan, 50, berkata, sebanyak 15 kg nasi beriani gam yang dimasaknya bersama sepupu Abd Semailah, 47, licin dalam tempoh dua jam setiap hari.

Basir yang mula berniaga jam 4 petang itu berkata, setiap hari dianggarkan 150 bungkus nasi beriani gam berlaukkan ayam dan kambing terjual.

“Harga masih sama seperti tahun lepas, RM7 bagi beriani kambing dan RM6 bagi beriani ayam. “Resipi nasi ini adalah daripada resipi ayah saya (Hasan Malilu, 80). Dia jadi tukang masak kenduri kahwin di Benut ni dah lama dah, ramai kenal dia,” katanya.

Basir berkata, rempah ratus yang digunakan adalah rahsia keluarga.

“Ada ayam yang telah dimasak bersama rempah beriani di bawah nasi yang akan ditanak di atasnya.

“Inilah beriani gam keistimewaan orang Johor, ramai yang cari juadah ini ketika Ramadan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia sudah 10 tahun berniaga di bazar Ramadan di Pekan Parit Betak.

“Hari biasa jual juga nasi beriani, tetapi tidak sebanyak seperti bulan puasa. Masak nasi beriani perlu masa antara dua hingga tiga jam.

“Bila dah hujung Ramadan dekat dengan raya, biasanya ada penduduk yang tempah untuk diberikan kepada jiran dan keluarga bagi menyemarakkan lagi budaya 'ngunjung',” katanya.

Pelanggan, Noraini Ahmad, 60, berkata, dia datang dari Parit Raja, Batu Bahat semata-mata mahu membeli nasi beriani yang dijual Basir.

Katanya, dia perlu cepat datang membeli kerana risau nasi beriani akan habis.

“Nasi beriani Basir memang sedap dan rasanya berbeza dari nasi beriani yang lain. Walaupun Batu Pahat banyak kedai makan jual nasi beriani tetapi saya lebih sukakan keenakan rasa beriani Basir,” katanya.

Seringgit sebungkus

Bagi peniaga air balang, Azizan Ahmad Yunos, 42, berkata, dia menawarkan 12 jenis air pelbagai perisa pada harga seringgit sebungkus.

Azizan berkata, setiap hari sebanyak 400 bungkus air terjual.

“Dah 8 tahun saya niaga air ketika bulan puasa memang pelanggan tak henti-henti datang beli air, mungkin sebab saya jual murah. Berbeza dengan peniaga lain.

“Pelanggan pun ada beri komen air yang saya jual sedap dan Alhamdulillah, setiap hari mesti licin,”katanya.