Kadar agihan zakat mualaf di Melaka naik kepada RM450

Ketua Menteri Adly Zahari bersama para penerima bantuan persediaan Syawal yang terdiri dari kalangan asnaf mualaf MAIM bagi kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menaikkan kadar agihan zakat kepada mualaf bagi kategori dewasa dan kanak-kanak tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, penerima zakat bagi dewasa dinaikkan daripada RM350 kepada RM450 seorang manakala kanak-kanak menerima zakat sebanyak RM150 berbanding RM50 pada tahun sebelum ini.

Menurutnya, kenaikan itu adalah hasil peningkatan jumlah kutipan zakat pada tahun lalu sebanyak RM2.2 juta kepada RM87.8 juta berbanding RM85.6 juta pada 2017.

"Keseluruhannya terdapat sebanyak 2,400 penerima bantuan dari kalangan mualaf dewasa dan 100 mualaf kanak-kanak di seluruh Melaka yang dikenal pasti untuk menerima bantuan Syawal tahun ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Ketua Menteri, Adly Zahari menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

"Bantuan ini diharap dapat membantu mereka membuat persediaan dan dapat menyambut kedatangan Aidilfitri seperti masyarakat Islam lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan Bantuan Persediaan Syawal Kepada Asnaf Mualaf MAIM bagi kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha MAIM, Azman Aziz, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Azhan Samat, Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Sharif Somathulla dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Berhad, Abdul Halim Ismail.

Sementara itu, menurutnya, bagi Parlimen Hang Tuah Jaya pula, jumlah keseluruhan yang akan diagihkan tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM131,400 kepada hampir 305 penerima golongan mualaf termasuk berumur bawah 18 tahun.

"Jumlah tersebut meningkat berbanding penerima asnaf tahun lalu seramai 228 penerima mualaf termasuk lapan kanak-kanak," katanya.