Mukhriz luang masa jumpa pesakit kanser otak

Mukhriz berbual bersama Mohd Ariff kanan dan Muhammad Azwar (tengah).
A
A

SIK - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini meluangkan masa menziarahi bekas johan Tilawah al-Quran Peringkat Kedah 2018 yang kini bertarung dengan penyakit kanser otak.

Mukhriz yang baru selesai menghadiri majlis pelancaran program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) di Dewan Al Hana pekan Sik pada sekitar jam satu petang, kemudian melawat Muhammad Azwar Mohd Ariff,12, dan keluarga di Pasaraya Nasman Xtra di pekan Batu Lima.

Bapa kepada Muhammad Azwar, Mohd Ariff Ismail,46, berkata, anaknya itu meluahkan rasa gembira dikunjungi Mukhriz.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, Mukhriz bertanya khabar kepada mereka di samping memberikan sumbangan.

"Mukhriz juga tanya perkembangan kesihatan anak dan bila tarikh rawatan Azwar. Beliau memberikan masa bertemu kami," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mohd Ariff berkata, Azwar akan menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang pada 29 Mei depan.

"Bulan Jun anak jalani rawatan MRI di Alor Setar kemudian bulan Julai rawatan mata," katanya

Katanya, tahap kesihatan Azwar semakin stabil namun penglihatannya masih kabur.

"Jika dia sihat awal bolehlah hantar dia ke sekolah dan ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dua minggu lepas Azwar bersemangat ke sekolah.

"Dia memakai pakaian seragam dan songkok untuk ke sekolah kerana tak sabar jumpa kawan-kawannya," katanya.

Sinar Harian pada 29 April lalu melaporkan kisah Azwar yang bertarung kanser otak serta penglihatannya yang kabur

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) ini menaruh harapan untuk membaca al-Quran sekiranya kedua-dua matanya pulih.