Kesan tambakan laut projek PSR turut libatkan Perak

Sekumpulan NGO Pulau Pinang dan Perak membantah projek PSR di selatan Pulau Pinang.
Sekumpulan NGO Pulau Pinang dan Perak membantah projek PSR di selatan Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Kesan tambakan laut di selatan Pulau Pinang untuk projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) dilihat akan memberi kesan bukan sahaja kepada negeri ini malah melibatkan utara Perak.

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Perak, Hafizudin Nasarudin berkata, pihaknya bimbang kesan tambakan laut untuk PSR itu akan menyebabkan hakisan di kawasan paya bakau berdekatan.

Menurutnya, sekiranya ketiga-tiga pulau buatan itu dibina, air laut akan mengubah laluannya dan menyebabkan hakisan terutamanya di Tanjung Piandang dan Nibong Tebal.

"Dengan projek ini, kami bimbang apa yang berlaku ketika tambakan projek untuk Pulau Marina di Pangkor dahulu, akan berlaku sekali lagi. 10 tahun lalu, apabila Pulau Marina dibina, sebanyak 500 meter hingga satu kilometer paya bakau di kawasan Teluk Muroh, Lekir dan Manjung mengalami hakisan.

"Ini yang kami bimbang dengan projek PSR ini. Jika ia masih diteruskan, kesannya juga akan sama seperti berlaku di Perak dahulu. Malah hakisan di kawasan tersebut masih berlaku sehingga ke hari ini," katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya, projek tambakan laut itu juga akan menjejaskan 6,080 nelayan di negeri tersebut.

Hafizudin memegang petisyen yang menyenaraikan 20 sebab mengapa PSR tidak perlu dilaksanakan.
Hafizudin memegang petisyen yang menyenaraikan 20 sebab mengapa PSR tidak perlu dilaksanakan.

"Kesan pelombongan pasir di dasar laut di Tanjung Piandang akan menyebabkan sebuah kawah besar berlaku. Jika ini berlaku, sumber galian dan marin akan pupus yang mana akan menyebabkan ikan, udang dan ketam tidak boleh hidup.

Artikel Berkaitan:

"Jika tiada hasil laut ini, bagaimana nelayan nak cari rezeki? Sama seperti nelayan di Pulau Pinang, mereka akan menjala lumpur dan batu-batu yang mana pukat mereka akan rosak," katanya.

Dia berkata, selain kesan terhadap nelayan, projek mega itu juga akan memberi kesan kepada alam sekitar dan habitat haiwan.

"Tambakan laut ini juga akan mengganggu tempat pendaratan penyu iaitu di Segari, Perak. Kawasan ini adalah kawasan pendaratan bagi penyu Agar.

"Bukan sahaja di Perak, kawasan di Gertak Sanggul juga merupakan kawasan pendaratan penyu Lipas. Terbaru, ada penyu mendarat di kawasan tersebut pada Februari lalu. Jika projek ini dibina, bagaimana penyu ini nak mendarat?" katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA), Ilias Shafie berkata, kenyataan Exco Pertanian dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin dalam Sidang DUN lalu bahawa lebih 50 peratus nelayan negeri ini tidak membantah PSR adalah tidak benar.

Menurutnya, 4,817 nelayan di negeri ini akan terjejas teruk sekiranya kawasan di selatan tersebut ditambak untuk dijadikan tiga pulau.

Pelan PSR yang membabitkan tiga buah pulau buatan.
Pelan PSR yang membabitkan tiga buah pulau buatan.

"Kenyataan Afif tidak benar. Bagaimana nelayan tidak bantah sedangkan mereka tahu dan mula merasai kesan daripada projek ini. Projek ini akan memusnahkan kawasan paling kaya dengan sumber ikan.

"Kami sudah beberapa kali menyatakan bantahan kerana tidak mahu mengalami nasib sama seperti nelayan di sebelah Tanjung Bungah dan Teluk Bahang.

"Tambakan laut untuk projek Sri Tanjung Pinang 2 (STP 2) telah memusnahkan mata pencarian nelayan malah nasib mereka tidak dilindungi dengan baik oleh Kerajaan Pulau Pinang walaupun sebelum ini telah diberi jaminan," katanya.

Dalam pada itu, sekumpulan badan budan kerajaan (NGO) meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar menolak projek PSR kerana ia memberi impak negatif kepada banyak pihak.

Jurucakapnya, Khoo Salma Nasution berkata, satu petisyen beserta 20 sebab PSR perlu ditolak akan diserahkan kepada Mahathir pada Julai nanti.

Menurutnya, selain Mahathir, petisyen yang disokong 45 NGO seluruh negara itu juga akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Khoo Salma menunjukkan pelan projek PSR yang didakwa akan memberi impak negatif kepada banyak pihak terutamanya alam sekitar.
Khoo Salma menunjukkan pelan projek PSR yang didakwa akan memberi impak negatif kepada banyak pihak terutamanya alam sekitar.

"Petisyen ini akan diserah pada Julai iaitu sidang Parlimen bermula. Kami amat berharap agar Perdana Menteri mendengar keluhan kami kerana tiga pulau buatan seluas 1,821 hektar itu akan menyebabkan kesan besar ke atas rantaian makanan marin dan industri perikanan di utara semenanjung akibat kehilangan kawasan kukup.

"Petisyen ini disediakan dalam pelbagai versi bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Jepun, Tamil dan Cina. Sejak ia dilancarkan pada 10 Mei lalu, kami berjaya mengumpul 12,500 tandatangan ke atas petisyen ini. Kami yakin, akan ada banyak lagi NGO menyokong petisyen ini dan kami mampu memperolehi lebih banyak tandatangan," katanya.

Terdahulu, Kon Yeow mengumumkan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Mahathir telah bersetuju untuk melaksanakan cadangan projek PSR namun ia disusuli dengan pematuhan 18 nasihat yang ditetapkan.

Kira-kira 1,821 hektar tanah akan ditambak melalui PSR sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Projek mega bernilai berbilion ringgit itu merangkumi LRT, monorel dan tiga buah lebuhraya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.