'Tolong bantu saya bawa pulang ibu dari Jeddah'

Rohani (berkerusi roda) bersama jemaah di Madinah selepas mengerjakan ibadah umrah. Foto ihsan Shuhairi Samsudin
Rohani (berkerusi roda) bersama jemaah di Madinah selepas mengerjakan ibadah umrah. Foto ihsan Shuhairi Samsudin
A
A
A

PADANG BESAR - Seorang anak merayu bantuan orang ramai bagi mengumpulkan dana sehingga RM85,000 untuk membawa pulang ibunya yang jatuh sakit ketika berada di Jeddah, Arab Saudi selepas selesai menunaikan umrah.

Shuhairi Samsudin, 45, berkata, ibunya, Rohani Hashim, 71, dari Kampung Baru Batu 18, Titi Tinggi di sini sebelum ini dilaporkan koma selepas rebah secara tiba-tiba di lapangan terbang ketika mahu berlepas pulang ke tanah air pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila keadaan ibunya menunjukkan perkembangan positif apabila wanita itu kini sudah sedar selepas menerima rawatan di Hospital King Fahd, Jeddah.

Menurutnya, ibunya berada dalam keadaan sihat sebelum berangkat menunaikan umrah namun mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

"Alhamdulillah, perkembangan hari ini mak sudah sedar. Saya bersyukur sangat dan berharap keadaannya terus bertambah baik supaya dapat dibawa pulang ke Malaysia secepat mungkin.

"Saya mohon orang ramai mendoakan kesembuhan mak," katanya pada Rabu.

Shuhairi berkata, beliau dijangka berlepas ke Jeddah pada Jumaat ini selepas urusan e-visa diselesaikan bagi menguruskan sendiri keadaan ibunya serta berbincang dengan pihak hospital berhubung proses membawa wanita itu pulang.

Bagaimanapun, katanya, kos pemindahan perubatan yang tinggi menjadi cabaran utama keluarga ketika ini, selain perbelanjaan lain yang perlu ditanggung sepanjang berada di Arab Saudi.

Menurutnya, berdasarkan anggaran awal syarikat perkhidmatan pemindahan perubatan pesakit, kos membawa pulang ibunya menggunakan penerbangan komersial dengan pengusung dijangka mencecah RM85,000.

Artikel Berkaitan:

"Kos itu termasuk pasukan perubatan dan peralatan oksigen bagi memastikan keadaan mak dipantau sepanjang perjalanan pulang ke Malaysia.

"Pilihan kedua pula memerlukan kos sekitar RM32,000 sekiranya keadaan mak mengizinkan untuk duduk di Kelas Perniagaan dengan diiringi doktor," ujarnya.

Tambah Shuhairi, bagaimanapun, kedua-dua pilihan ini bergantung kepada keadaan kesihatan mak serta kelulusan dan nasihat pihak perubatan.

Menurutnya, jumlah sebenar kos membawa pulang ibunya masih belum dapat dipastikan kerana perlu mendapatkan penjelasan lanjut daripada doktor yang merawat wanita itu selepas tiba di Jeddah nanti.

Sehubungan itu, Shuhairi merayu sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban keluarga, sekali gus membolehkan ibunya dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0212041100039691 atas nama Shuhairi Samsudin dan boleh dihubungi menerusi talian 012-5662054.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!