AIM peruntuk RM2.5 bilion untuk usahawan B40

Datuk Junaidah Kiting
Datuk Junaidah Kiting
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan sejumlah RM2.5 bilion sebagai pembiayaan mikro dengan sasaran 400,000 penerima mendapat manfaat menjadi usahawan menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Lembaga AIM Datuk Junaidah Kiting berkata, peruntukan itu akan memberi impak penambahan hampir 80,000 Sahabat AIM baru seluruh negara dalam kalangan golongan B40.

Menurutnya, AIM telah mengeluarkan pinjaman secara kumulutif berjumlah RM22 bilion yang memberi manfaat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Peningkatan peruntukan ini dapat membantu Sahabat AIM mengembangkan lagi perniagaan dan memberi manfaat kepada lebih ramai wanita kategori B40 untuk menceburi bidang perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan bersama media di sini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menyampaikan Sumbangan Iftar Ramadan AIM berbentuk barangan makanan asas bernilai RM22,200 kepada 111 orang Sahabat AIM di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, AIM meluaskan lagi operasinya ke 136 pejabat cawangan di bawah seliaan 30 pejabat wilayah di seluruh negara.

Katanya, ia bagi memastikan hasrat dan sasaran tercapai dan sampai kepada kumpulan sasar dengan perkhidmatan yang terbaik.

“Ramai Sahabat AIM sudah kecap kejayaan yang merubah kehidupan mereka melalui pembiayaan, bantuan dan latihan yang diberikan oleh AIM.

Artikel Berkaitan:

“Antaranya Sahabat AIM dari Cawangan Kota Setar, Kedah, Che Non Ahmad yang menjalankan perniagaan ketupat sejuk beku hingga dapat meningkatkan pendapatan dari RM1,200 ke RM6,000 sebulan.

“Oney Soffia Aziz dari Cawangan Kota Bharu, Kelantan pula telah dapat meningkatkan jualan produk maruku daripada RM13,000 kepada RM30,000 sebulan,” katanya.