Bunuh Siti Kharina: Polis tidak kompromi dengan PATI

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor tidak akan berkompromi dengan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar negeri ini, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada pihaknya akan melaksanakan operasi PATI di kawasan Cyberjaya susulan kejadian bunuh menimpa ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, di sebuah kondominium di Cyberjaya, baru-baru ini, yang dipercayai melibatkan pelaku warga asing.

Dalam kes tersebut tiga warga asing membabitkan dua warga Nigeria dan seorang warga Pakistan berusia lingkungan 30-an diberkas.

Menurut Noor Azam, berhubung operasi PATI, tindakan sentiasa berjalan.

"Jika ada aduan, polis akan bertindak secara bersepadu. PATI ini bukanlah hanya semata-mata warga Nigeria sahaja, tetapi semua warga asing yang menyalahi undang-undang imigresen.

"Bukan sahaja di Cyberjaya, tetapi di semua lokasi yang dilaporkan seperti kawasan pasar borong dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, jika ada laporan berhubung masalah PATI, polis akan melaksanakan operasi dalam usaha membanteras golongan ini.

Terdahulu, polis mengesahkan suspek utama lelaki Nigeria, Aliwajuwon Gilbertalowonle yang ditahan reman kerana disyaki terlibat dalam Siti Kharina itu datang ke Malaysia awal Januari lepas menggunakan pas lawatan pelancong sejak Januari lepas, namun telah menetap lebih masa di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, polis masih menyiasat butir-butir diri seorang wanita Nigeria dan seorang lelaki Pakistan yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya masih menunggu keputusan siasatan dan keputusan pihak pendakwa raya untuk tindakan seterusnya.

"Berhubung motif itu biar polis siasat dulu, perkembangan lanjut akan dimaklumkan nanti," katanya.

Terdahulu, pada 10 Mei lalu, polis menerima laporan pada jam 4.20 petang mengenai kehilangan mangsa. Mangsa dipercayai telah keluar rumah pada 9 Mei, namun tidak pulang ke rumah di Kampung Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.

Siti Kharina bagaimanapun ditemui mati di rumah sewanya di kondominium di Cyberjaya, Rabu lalu dengan kesan kelaran di kepala, leher dan dada.