Daya tahan ekonomi negara terus tinggi: Guan Eng

Lim Guan Eng -Foto Bernama
Lim Guan Eng -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Daya tahan ekonomi Malaysia terus tinggi apabila negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.5 peratus walaupun berdepan dengan ketidaktentuan cabaran luaran.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kepastian, kejelasan dan konsisten dasar yang disediakan kerajaan telah membolehkan ekonomi negara berkembang setinggi 4.5 peratus dalam suku tahun pertama 2019, mengatasi jangkaan pasaran serendah 4.3 peratus.

"Pertumbuhan 4.5 peratus ini menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang tinggi semasa berdepan dengan ketidaktentuan cabaran luaran yang timbul akibat perang dagang antara AS dan China.

"Ini adalah satu permulaan yang memberangsangkan untuk tahun ini," katanya menerusi perutusan khas sempena sambutan Hari Wesak di sini hari ini.

Guan Eng berkata, usaha pemulihan nasional melalui pembaharuan institusi mendatangkan hasil yang baik apabila lebihan akaun semasa, pelaburan langsung asing (FDI) yang direalisasikan dan kemasukan pelancong untuk suku pertama 2019 telah meningkat secara signifikan.

"Pelaburan langsung asing yang direalisasikan pula naik sebanyak 94.8 peratus kepada RM21.7 bilion berbanding RM11.2 bilion setahun lalu. FDI yang direalisasikan adalah pelaburan asing yang telah dibuat untuk tempoh tersebut. Ini membuktikan kekuatan ekonomi negara serta keyakinan tinggi pelabur asing ke atas Kerajaan dan negara Malaysia.

"FDI sebanyak RM21.7 Bbilion ini adalah yang tertinggi dalam sejarah Malaysia bagi satu suku. Pelaburan yang direalisasikan ini akan meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia dalam masa terdekat," katanya.

Jelas beliau, lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 bilion daripada Jepun, RM3.7 bilion daripada Austria dan RM2.8 bilion daripada Hong Kong.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan berharap keyakinan yang ditonjolkan pelabur asing akan membantu meningkatkan pelaburan domestik syarikat tempatan bagi memantapkan lagi pertumbuhan negara," ujar beliau.

Pada masa yang sama, lebihan akaun semasa telah naik kepada RM16.4 bilion atau 4.7 peratus daripada pendapatan kasar negara (GNI) berbanding 3.0 peratus daripada suku keempat 2018. Ia dijangka akan terus berada dalam keadaan lebihan dalam suku-suku yang akan datang.

"Akhir sekali, suku pertama 2019 juga memperlihatkan Malaysia menerima 6.696 juta pelancong asing, iaitu jumlah yang terbesar sejak suku keempat 2016.

"Ini merupakan peningkatan 2.7 peratus berbanding tahun lepas apabila 6.520 juta orang pelancong asing melawat Malaysia dan 3.9 peratus berbanding suku keempat 2018 apabila 6.446 juta orang pelancong asing masuk melawat Malaysia," katanya.