Pertahankan diri, MP Labis kemuka laporan polis

Hok Liong menunjukkan laporan polis yang dibuatnya semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.
Hok Liong menunjukkan laporan polis yang dibuatnya semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.
A
A
A

SEGAMAT - “Saya pegang mikrofon pun hanya tiga minit, mustahil sempat nak sentuh isu politik,” demikian kata Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong berhubung dakwaan dirinya memberi ceramah berbaur politik di Masjid Tenang Stesen di sini baru-baru ini.

Hok Liong berkata, sehingga kini masih ada pihak terus mengeluarkan fitnah kepadanya di Facebook sekali gus memaksa beliau untuk membuat laporan polis.

“Sampai ke hari ini pun status dimuat naik terus menghentam saya padahal saya dah tegaskan bahawa tiada langsung ceramah berunsur politik. Ucapan pun tiga minit dan ada bukti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu. Sebagai wakil rakyat, saya tahu dan hormati larangan berpolitik di situ.

“Malah, tujuan saya bercakap menggunakan pembesar suara pun sekadar nak sampaikan kata-kata penghargaan kepada pihak pengurusan masjid selain mengucapkan selamat berpuasa kepada hadirin. Jelas hujahan saya ringkas dan mustahil masa yang pendek itu saya nak sentuh isu politik,” katanya.

Hok Liong (tengah) bersama pengikutnya selepas mengadakan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, semalam.
Hok Liong (tengah) bersama pengikutnya selepas mengadakan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, semalam.

Menurutnya, ucapan dilakukan sambil berdiri di hadapan pintu dan tidak masuk ke ruang dalam masjid pada program sumbangan terbabit.

“Sebelum itu, ADUN Tenang, Solihan Badri dah maklumkan bahawa saya nak beri sumbangan kepada semua masjid dan surau dalam Parlimen, namun jumlahnya tidak diketahui.

“Justeru, saya diberi peluang untuk berucap sepatah dua kata bagi mengumumkan nilai sumbangan dan ketika itulah pihak pengurusan masjid menjemput saya ke dalam dan saya berikan sedikit ucapan sebelum melakukan acara penyerahan sumbangan serta sesi bergambar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hok Liong berkata, beliau yang berbuka puasa jemputan sebelum meninggalkan majlis ketika jemaah mulai mendirikan solat Maghrib turut kesal kesal dengan tohmahan itu malah sehingga kini pemilik akaun terus berterusan memburukkannya hingga menuduh membawa anjing ke dalam masjid ketika program berlangsung.

Laman facebook yang didakwa memfitnah Hok Liong.
Laman facebook yang didakwa memfitnah Hok Liong.

“Pihak itu sengaja nak jatuhkan saya apabila semakin banyak fitnah dibuat mengenai perkara ini. Justeru, saya berpendapat perlu untuk saya buat laporan polis supaya individu ini diambil tindakan kerana dia semakin melampau.

“Sepatutnya bulan Ramadan adalah masa untuk bercakap perkara baik, namun individu ini terus-terusan memutar belit keadaan. Saya juga kesal kerana fitnah ini menyebabkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim murka,” katanya.

Hok Liong dalam pada itu berharap perkara itu tidak lagi diperbesarkan dan bersedia bertemu Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal jika dipanggil bagi memberikan keterangan.

Terdahulu, dalam majlis itu, Hok Liong berkata, pihaknya memberikan sumbangan bernilai RM1,000 kepada semua masjid dan RM500 setiap surau dalam Parlimen Labis bertujuan merancakkan aktiviti keagamaan sempena Ramadan.