Ahli Daulat turut berharap ada bonus raya

Mohamad Shabudin (empat dari kiri) bergambar bersama ahli Daulat yang lain ketika mesyuarat agung tahunan baru-baru ini. (Gambar kecil: Mohamad Shabudin)
Mohamad Shabudin (empat dari kiri) bergambar bersama ahli Daulat yang lain ketika mesyuarat agung tahunan baru-baru ini. (Gambar kecil: Mohamad Shabudin)
A
A
A

YAN - Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (Daulat) berharap kerajaan akan turut menyumbangkan bonus sempena hari raya untuk mereka.

Presidennya, Mohamad Shabudin Teh berkata, seramai 8,000 ahli Daulat sangat menantikan bonus berkenaan kerana kebanyakan dalam kalangan mereka sudah tidak mampu bekerja.

Katanya, musim perayaan menuntut ramai dalam kalangan ahli Daulat agar berbelanja lebih dari kebiasaan.

"Ada dalam kalangan mereka perlu membeli keperluan ahli keluarga dan sumbangan raya yang dijanjikan juga mampu membantu mereka," katanya.

Menurut Mohamad Shabudin, selain daripada rayuan sumbangan raya, pihak Daulat juga turut bersepakat meminta kerajaan PH menunaikan tujuh permintaan yang tidak ditunaikan oleh kerajaan terdahulu.

"Antara yang tersenarai di dalam tujuh permintaan itu ialah imbuhan atau elaun khas untuk ahli Daulat disalurkan dengan baik.

"Kita juga meminta elaun ahli Daulat yang meninggal dunia diteruskan pemberiannya kepada isteri dan anak-anak," katanya.

Tambah Mohamad Shabudin, sebagai presiden pertubuhan, beliau merupakan individu yang paling hampir dengan ahli.

Artikel Berkaitan:

"Ramai ahli Daulat hidup dalam kesusahan, ada dalam kalangan mereka yang sudah pun uzur dan perlu menanggung kos rawatan tertentu seperti untuk dialisis dan pelbagai lagi.

"Mereka hanya mengharapkan sedikit belas kasihan daripada kerajaan dalam menghabiskan sisa kehidupan mereka," katanya.