Jangan tunggu nasi jadi bubur

FAISAL MUHAMAD

A
A
A

SUDAH beberapa bulan saya tidak bertemu dengan Pak Salim. Saya diberitahu dia pulang ke Kedah. Tiba-tiba pula semalam saya terserempak dengan beliau di tempat biasa. Beliau seorang sahaja sedang menikmati roti canai kahwin dan kopi O pula.

Saya terus menegurnya dengan harapan dipelawanya minum. “Assalamualaikum Pak Salim. Lama tak nampak?’’

“Waalaikumussalam. Ada ni ha. Baru sampai dari kampung. Melawat rumah pusaka. Lama tak balik. Ziarah saudara-mara juga.”

“Bila sampai dari kampung?’’ tanya saya sambil menunggu Pak Salim mempelawa saya minum.

“Dua hari dah sampai. Letih pula. Itu yang tak keluar rumah. Lagipun anak aku suruh berehat bila tengok aku mengurut pinggang sahaja. Lenguh.”

“Pak Salim memandu ke?’’ tanya saya pula.

“Ya. Anak aku Lisa tu tak berani pandu jauh-jauh.’’

Saya mengangguk-angguk sahaja dengan menaruh harapan yang tinggi agar dipelawa juga untuk makan roti canai kahwin. Pak Salim pula hanya bercerita tentang kampung asal yang sangat dirindunya.

Artikel Berkaitan:

Adik-beradik sudah tiada. Hanya tinggal anak-anak saudara. Itu pun mereka juga sudah lanjut usia. Walaupun begitu Pak Salim masih nampak sihat dan cergas lagi. Kalau tidak masakan masih dapat memandu dari Kedah ke Kuala Lumpur.

“Kau tahu, semasa aku dari Sungai Petani, hendak melalui Bedong, ada sebuah lori bermuatan penuh dengan pokok kayu, ranting dan dahan.

"Masa itu aku sedang memandu di belakang lori tu. Sekali ranting dahan jatuh atas kereta aku. Hangin betul aku.

"Bahaya kau tahu. Kalau jatuh kepala orang yang sedang bawa motor bagaimana pula?’’ tanya Pak Salim sambil mulut mengunyah laju roti canai yang dicicah dengan kuah daging cincang. Saya pula menelan air liur sahaja.

“Lepas tu?’ tanya saya pula.

“Aku terus keluarkan telefon dan ambil gambar lori tu. Bukan apa aku hendak buat aduan tentang lori tu. Aku rasa JPJ juga kena buat silibus baru untuk lulus periksa. Ujian memandu sambil mengambil gambar. Supaya senang pula orang nak buat aduan nanti,’’ kata Pak Salim dengan muka serius.

Saya hanya tersenyum sahaja. Boleh ke tukar silibus baharu tu? Bukan senang kalau memandu sambil ambil gambar pula. Tetapi ramai juga yang sambil memandu bermain mesej pada telefon. Mungkin sudah sampai masanya JPJ menaik taraf modul untuk lulus lesen memandu.

“Aku terus ke balai polis untuk buat aduan. Takkan nak tunggu ada orang jadi mangsa baru nak ambil tindakan. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita kena prihatin dan sentiasa ambil berat juga,” kata Pak Salim lagi sambil menghirup kopi.

“Sampai di balai polis, aku kena bawa laporan ini ke JPJ pula kata polis tu. Aku ingat boleh lapor polis sahaja. Tak ada ke tempat aduan ‘one stop centre’ sahaja? Senang sikit tak perlu hendak ke sana ke mari,’’ Pak Salim merungut pula.

“Sampai di JPJ, aku pun buat aduan. Aku suruh JPJ membuat pemantauan. Kalau boleh letak satu pondok JPJ di Bedong.

“Apa kata JPJ?’’ tanya saya sambil menelan air liur lagi.

“Tak boleh. Tak cukup orang. Kalau letak pun nanti lori tu cari jalan lain pula,’’ kata Pak Salim lagi.

“Oh begitu pula. Kalau macam tu tak selesailah jawabnya.”

“Entahlah aku pun tahu. Kata pegawai JPJ itu, kakitangan tak cukup. Kuota contoh, kalau 8,000 orang maka kena cukup 8,000 orang pula. Tidak boleh minta lebih.”

“Oh,” kata saya sambil kecur melihat Pak Salim menghirup kuah daging.

“Kena tunggu ada orang ditimpa bahaya dahulu agaknya, baru nak bertindak. Tunggu nasi menjadi bubur agaknya," jawab Pak Salim.

“Hmm... tapi yang penting Pak Salim dah ambil tindakan sebagai rakyat Malaysia yang prihatin,’’ kata saya pula.

“Ya, ya betul. Kita kena bertanggungjawab juga. Eh, kau tak minum ke?” tanya Pak Salim setelah selesai membasuh tangan sambil bergegas pergi.

Dari tadi saya berdiri, sekarang baru ditanya hendak minum atau tidak. ‘Tidak apalah,’ bisik hati kecil saya merajuk.

*Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.