X

Kindly register in order to view this article
!

Ramai sungguh nak tunjuk power

A
A

SIAPA yang tidak mahu kuasa? Ramai yang sanggup bermati-matian untuk merebut kuasa. Ada yang mendapat kuasa kerana strategi dan usaha yang berterusan untuk mendapatkan kedudukan tersebut manakala ada yang diberikan kuasa kerana telah menunjukkan bakat serta sikap yang dipercayai oleh individu yang lebih berkuasa.

Hakikatnya, ramai yang seronok bila dapat kuasa berbanding dengan mereka yang agak takut untuk menerima kuasa kerana besarnya amanah yang perlu dipikul. Pun begitu, pada hari ini semakin ramai yang hendak tunjuk power walaupun sebenarnya mereka tidak ada kuasa pun.

Sebetulnya, naluri hendak tonjolkan kuasa ada pada semua peringkat manusia. Jika di peringkat tinggi, kebanyakannya lebih suka tunjuk kuasa dengan gaya kepimpinan yang lama seperti selalu marah serta cenderung menggunakan kaedah ugutan agar orang bawahan mendengar arahan mereka.

Bagi peringkat pertengahan dan rendah pula, suka tunjukkan kuasa untuk mendapatkan perhatian serta mahu mereka lebih dihormati.

Maka tidak hairanlah jika ada yang bertugas sebagai pengawal keselamatan pun hendak tunjuk kuasa melebihi bidang tugas sebenar mereka. Begitu juga dengan ramai lagi manusia yang mahu tunjukkan kuasa demi kepentingan diri mereka sendiri. Itu belum lagi tunjuk power boleh bawa kita jumpa menteri.

Dari perspektif psikologi, golongan yang suka tunjuk power ini sudah termasuk dalam kelompok yang suka menunjuk-nunjuk di mana bertujuan untuk mendapatkan perhatian daripada orang lain.

Namun sikap sedemikian lebih menyebabkan orang lain rasa menjengkelkan. Perkara ini timbul kerana mereka tidak mahu orang lain pandang lekeh kepada dirinya.

Justeru, mereka sedaya upaya untuk tonjolkan power mereka dalam pelbagai medium sama ada menerusi kekayaan serta ketinggian ilmu dan pangkat mereka.

Maka tidak peliklah ramai yang marah dan kecewa sekiranya gelaran mereka tidak disebutkan dengan betul kerana takut rendah power nya serta mendapatkan ‘sijil terbang’ bagi meninggikan lagi power mereka.

Walhal seseorang yang waras, walaupun berpangkat tinggi, cukup hebat dan kaya-raya tidak menampilkan sikap berkenaan kerana mereka sudah tahu apa jangkaan masyarakat pada kedudukan mereka.

Sebetulnya, mereka bersikap sebegini kerana cuba untuk sembunyi atau hapuskan kelemahan yang ada pada diri mereka.

Alfred Adler, seorang psikoanalisis, menjelaskan bahawa mereka ini boleh disifatkan sebagai striving superiority atau berjuang untuk mendapatkan kedudukan walaupun dalam dirinya masih ada masalah dalaman atau inferiority complex. Mereka juga mengalami pertembungan di antara dirinya yang sebenar dengan diri yang dihajatinya.

Hakikatnya golongan ini perlu dipulihkan. Apa yang jelas, lagi lama tempoh mereka mengambil masa untuk menerima diri mereka yang sebenar, maka selagi itulah mereka akan cuba pelbagaikan strategi untuk tonjolkan kehebatan mereka.

Akhirnya, mereka akan terjerumus dalam kesepian kerana jurang dirinya yang sebenar dengan apa yang dihajatinya semakin jauh.

Secara umumnya golongan yang suka menunjukkan kuasa ini sentiasa ingin memperlihatkan mereka cukup penting. Justeru, mereka sentiasa menggambarkan diri mereka sentiasa sibuk.

Selain itu, mereka juga kerap memuat naik gambar yang menunjukkan mereka sibuk seperti berada di depan komputer, berada dalam bilik mesyuarat dan sebagainya. Pendek kata, semuanya yang hebat ada pada dirinya.

Sedarlah, kuasa kita tidak boleh bawa ke mana pun. Pada hari ini, menggunakan cara keras dan kasar untuk tonjolkan kuasa sudah menjadi suatu mitos.

Berkaitan hal ini, di antara zikir selepas solat yang dianjurkan Rasulullah SAW, “Ya ALLAH tidak ada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan dan tidak ada pula yang dapat memberi apa yang engkau halang, dan tidak memberi manfaat kekayaan dan kekuasaan kepada pemiliknya disisi Mu.” (HR: Bukhari dan Muslim). Amalkanlah sebelum terjerumus dalam kancah ‘gilakan kuasa’

*Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus