Infaq darah di bulan Ramadan

Antara jemaah Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang yang menderma darah.
Antara jemaah Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang yang menderma darah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lebih 200 jemaah Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang memburu pahala Ramadan dengan cara berbeza, iaitu dengan infaq darah untuk mereka yang memerlukan.

Menariknya, program itu pada mulanya hanya menyasarkan 100 penyertaan, namun sambutan di luar dugaan apabila lebih 200 jemaah berpusu-pusu untuk menderma darah sebaik sahaja selesai solat tarawih.

Pengarah program, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, program yang julung kali dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Karyawan Kreatif dan masjid itu bermula pada jam 9 malam dan terpaksa dilanjutkan sehingga jam 1 pagi berikutan sambutan luar jangka yang diterima.

“Pihak kami cukup terharu kerana Program Infaq Darah Ramadhan Al-Mubarak ini melebihi sasaran kita.

“Inisiatif untuk menderma pada bulan Ramadan ini dibuat bagi menampung bekalan darah hospital.

"Apatah lagi ia adalah bulan yang penuh keberkatan, ini salah satu cara untuk kita sama-sama mengejar pahala dengan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Datuk Wan Md Al-Bakri Wan Md Noor; Presiden Karyawan Kreatif, Nik Mohd Zaid Nik Salim dan Pengurus Besar Hotel Primula Beach, Suhaibah Harun.

Jelas Che Adam, buat julung kalinya juga, mereka membuat kolaborasi yang sangat besar dan menjangkakan ia boleh menampung bekalan darah di antara 150 hingga 200, yang sebelum ini tabung darah hospital hanya mampu peroleh dalam lingkungan 70 hingga 80 sahaja untuk tempoh yang terhad.

Artikel Berkaitan:

Apa yang membanggakannya, pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi yang lain sekali gus dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dengan sumbangan darah yang dihulurkan.

“Program ini mendapat kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah, TAC Outdoor, Kelab Eksplorasi Jerangau Barat, McDonald’s Kuala Terengganu dan Hotel Primula Beach.

“Melihatkan sambutan yang cukup hangat ini, kita akan teruskan program ini dari semasa ke semasa bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.