Penjawat awam Selangor terima bonus tiga bulan gaji

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan Insentif Mahabbah Ramadan yang bernilai RM4,171,500 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim (dua, kanan) pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan Insentif Mahabbah Ramadan yang bernilai RM4,171,500 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim (dua, kanan) pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Seramai 19,244 penjawat awam di Selangor bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak tiga bulan gaji bagi tahun ini yang akan dibayar secara berperingkat.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan itu dimuktamadkan pihaknya selepas mengambil kira beberapa faktor.

Beliau berkata, pembayaran bantuan khas kewangan bagi satu bulan gaji yang juga dipanggil Insentif Mahabbah Selangor itu akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri pada 7 Jun ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM33.84 juta.

Menurutnya, bantuan khas kewangan dua bulan gaji lagi akan dibayar pada akhir tahun berasaskan mata pencapaian prestasi yang diperolehi oleh ketua-ketua jabatan.

Selain itu katanya, bantuan Khas kewangan satu bulan gaji juga akan diberikan kepada 1,521 kakitangan beberapa syarikat berkaitan (GLC) serta organisasi strategik negeri antaranya Universiti Selangor (UNISEL), Yayasan Hijrah Selangor, Tourism Selangor, Invest Selangor, Yayasan Warisan Anak Selangor dan Pusat Jagaan Rumah Puteri Arafiah yang melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM5.621 juta.

"Kerajaan negeri juga akan memberi insentif sebanyak RM1,000 kepada 739 kakitangan persekutuan yang berkhidmat di Selangor pada 7 Jun ini.

"Kita juga akan memberi insentif berjumlah RM4,171,500 kepada petugas di 390 masjid dan 2,053 surau di negeri ini, " katanya pada Majlis Rapat Ramadan Menteri Besar Selangor bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Amirudin (tengah) beramah mesra dengan penjawat awam yang hadir ke Majlis Rapat Ramadan Menteri Besar Selangor bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Amirudin (tengah) beramah mesra dengan penjawat awam yang hadir ke Majlis Rapat Ramadan Menteri Besar Selangor bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, petugas masjid kariah terdiri daripada nazir, imam satu dan imam dua, bilal satu dan dua serta siak satu dan siak akan menerima RM400 setiap orang.

"Bagi petugas surau terdiri daripada pengerusi surau, imam satu dan imam dua, seorang bilal dan seorang siak surau pula akan menerima RM300 setiap orang," katanya.

Amirudin berkata, tarikh pembayaran insentif tersebut diserahkan kepada pejabat agama, sama ada untuk diberikan sebelum atau selepas Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmi Diron, Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.

Dalam perkembangan sama, Amirudin turut menyeru seluruh warga perkhidmatan awam Selangor untuk menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan awam adalah tulang belakang pelaksanaan dasar negara dan negeri.

"Saya yakin dengan kebolehan dan komitmen penjawat awam negeri ini untuk melonjakkan lagi tahap penyampaian perkhidmatan awam ke satu tahap yang lebih tinggi atau sehingga ke 'world class level.'

"Saya yakin ketekunan penjawat awam Selangor bukan hanya kerana mengejar imbuhan semata-mata, tetapi keikhlasan dan komitmen mereka adalah berdasarkan tanggungjawab untuk meneruskan kecemerlangan dan melaksanakan tuntutan-tuntutan perubahan yang diingini oleh rakyat selari dengan ikhtiar kerajaan untuk merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri," katanya.