Remaja bunuh diri: TPM mahu netizen lebih bertanggungjawab

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang media pada hari terakhir lawatan kerja ke Geneva hari ini. Foto: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika sidang media pada hari terakhir lawatan kerja ke Geneva hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

GENEVA - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa netizen supaya lebih bertanggungjawab di media sosial susulan insiden bunuh diri seorang remaja yang mendapat undian 69 peratus dalam Instagramnya.

Memandang serius perkara itu, Dr Wan Azizah menyifatkan insiden tersebut yang berlaku di Sarawak sebagai satu tragedi.

“Menyedihkan anak muda ini yang telah mengambil nyawanya dipengaruhi oleh media sosial yang tidak bertanggungjawab. Saya rasa netizen mestilah bertanggungjawab juga..mengundi..ini bukan (perkara) main-main,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau juga mengambil maklum kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bahawa seseorang itu boleh dijatuhkan hukuman jika didapati bersalah menyubahati perlakuan membunuh diri.

MCMC dalam kenyataannya semalam berkata di bawah Seksyen 305 Kanun Keseksaan adalah menjadi kesalahan untuk menyubahati perlakuan kesalahan membunuh diri oleh orang berumur kurang daripada 18 tahun. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan dikenakan denda.

Sementara itu, beliau juga berkata masalah kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja, perlu dilihat secara meluas dan memerlukan kerjasama bersepadu antara semua kementerian dan agensi terlibat.

“Pada anak muda yang lain yang berputus asa, mereka memerlukan kaunseling. Kementerian Kesihatan, MCMC, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan. Semua agensi perlu dilibatkan. Semua perkara ini, perlu semua agensi terlibat. Inilah masa depan negara kita,” katanya.

Baru-baru ini rakyat Malaysia digemparkan dengan kematian seorang remaja perempuan yang membunuh diri setelah mendapat undian sebanyak 69 peratus untuk ‘mati’ di laman sosial Instagram.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan laporan media, mangsa memuat naik status undian “Really Important, Help Me to Choose D/L” (D bermaksud mati dan L bermaksud Hidup) di Instagramnya.

Selain itu, mangsa juga turut memuat naik status di laman sosial Facebook “Wanna Quit F**king Life I’m Tired”.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa remaja berkenaan dipercayai mengalami masalah kemurungan.- Bernama