Tiada tanda air sungai tercemar di Kampung Tasik Cunex

Lambakan kayu balak di bagan sementara yang tidak boleh dibawa keluar sejak empat bulan lalu akibat sekatan dibuat penduduk.
Lambakan kayu balak di bagan sementara yang tidak boleh dibawa keluar sejak empat bulan lalu akibat sekatan dibuat penduduk.
A
A
A

GERIK – Pertikaian penduduk orang asli di Kampung Tasik Cunex di sini yang menolak aktiviti pembalakan kerana dikatakan mencemari kawasan tadahan air mereka, kini menimbulkan persoalan baru.

Tinjauan yang dilakukan di lokasi semalam mendapati, tiada sebarang unsur pencemaran terhadap sungai yang menjadi sumber air penduduk di situ.

Keadaan air yang jernih serta keindahan air terjun membuatkan sungai itu sangat menarik untuk dijadikan lokasi mandi dan berkelah.

Sungai yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak itu juga sama sekali tidak bersambung dengan kawasan pembalakan yang terletak kira-kira 5km dari kampung itu.

Pengerusi Kampung Tasik Cunex, Apam Yik ketika ditemui mengakui, tiada sebarang aktiviti pembalakan dilakukan di kawasan hulu sungai berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekatan diroboh: Penduduk kecewa kayu balak dibawa keluar

Dia yang sebelum ini lantang mendakwa pembalakan itu menyebabkan air sungai tercemar sejak lima bulan lalu turut mengakui penduduk kampung masih lagi menggunakan sungai berkenaan sebagai sumber air dan memasak sehingga sekarang.

“Di hulu sungai memang tak ada pembalakan, cuma apa yang kami khuatiri aktiviti pembalakan ini bakal mengundang banjir besar yang merosakkan kualiti sungai.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang kami masih gunakan sungai ini sebagai sumber air dan makan tapi esok-esok kita tak tahu macam mana keadaannya. Silap-silap sungai ini hancur dan kami tidak ada lagi sumber untuk teruskan hidup,” katanya.

Tanah luas untuk berkebun

Bantahan oleh penduduk Kampung Tasik Cunex seramai 117 orang itu bermula Januari lalu dengan membina sekatan yang menghalang syarikat konsesi balak berlesen dari mengeluarkan kayu dari kawasan pembalakan.

Sekatan menggunakan kayu yang didirikan penduduk bagi menghalang kegiatan pembalakan di kawasan itu. (Gambar kecil: Daud Samsudin, Apam Yik)
Sekatan menggunakan kayu yang didirikan penduduk bagi menghalang kegiatan pembalakan di kawasan itu. (Gambar kecil: Daud Samsudin, Apam Yik)

Ia dibuat atas dakwaan menceroboh kawasan tanah adat mereka termasuk kebimbangan kehilangan sumber hutan dan merosakkan sumber air.

Namun selepas diteliti aktiviti pembalakan melibatkan kawasan 80 hektar di kawasan Hutan Simpan Air Chepam itu mematuhi semua syarat termasuk laporan Kajian Impak Alam Sekitar dan hanya pokok yang mengikut piawaian dibenarkan ditebang melalui kaedah ’tagging’.

Ini dibuktikan menerusi tinjauan ke bagan simpanan sementara yang mana, kayu-kayu balak yang dikeluarkan semuanya dari pokok yang ditanda.

Sinar Harian difahamkan, proses membawa keluar pokok berkenaan tergendala sejak empat bulan lalu akibat bantahan dan halangan yang dibuat penduduk Kampung Tasik Cunex.

Apam berkata, satu daripada tujuan sekatan itu dibuat adalah untuk mendesak kerajaan mengiktiraf kawasan tanah adat lebih 12,000 hektar yang dituntut penduduk Kampung Tasik Cunex.

Pihaknya mendakwa, tanah seluas 12,465 hektar merangkumi Hutan Simpan Air Chepam, Tanah Kerajaan Mukim Kenering di Hulu Perak dan Hutan Simpan Piah Kuala Kangsar adalah tanah nenek moyang mereka.

"Kami bersepakat sama sekali tidak akan berganjak dari terus mendirikan sekatan dan menghalang kayu-kayu ditebang dikeluarkan dari kawasan pembalakan selagi tuntutan itu tidak dipersetujui kerajaan negeri.

“Orang asli berada di merata-rata tempat di negeri Perak jadi kami punya hak untuk menuntut tanah ini, kami perlukan kawasan luas bukan untuk dimusnahkan atau projek apa-apa cuma untuk berkebun dan mencari hasil hutan sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Keadaan air sungai yang jernih membuktikan tiada unsur pencemaran ditemui ketika tinjauan dilakukan.
Keadaan air sungai yang jernih membuktikan tiada unsur pencemaran ditemui ketika tinjauan dilakukan.

Kesemua mereka adalah penduduk asal Kampung Sarok yang juga sebahagian daripada tujuh kampung berada dalam Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala sebelum tekad berpindah keluar pada 2017.

Mereka kemudiannya membina penempatan baru iaitu Kampung Tasik Cunex atas tanah milik kerajaan negeri yang terletak 5km di luar kawasan rizab orang asli RPS Dala tanpa kebenaran.

Jika dinilai dari segi perundangan, sekatan laluan dibuat penduduk kampung itu boleh diklasifikasikan sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas mana-mana tanah Kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Tinjauan dibuat di Kampung Sarok yang menempatkan 316 penduduk kampung orang asli dari suku Termiar mendapati mereka tidak pernah menghalang apa juga kegiatan pembalakan selagi ia dilakukan secara sah dan di bawah pemantauan kerajaan negeri.

Sementara itu, Tok Batin, Saritei Alang berkata, pihaknya percaya setiap hasil hutan yang dibawa keluar itu akan memberi pulangan kepada rakyat sendiri termasuklah pembangunan kampung orang asli.

Seorang penduduk kampung, Daud Samsudin, 30, berkata, mereka pernah memberikan pandangan kepada penduduk Kampung Tasik Cunex berhubung tindakan sekatan itu, namun tidak diendahkan.

"Sepatutnya apa juga masalah atau bantahan, dibincangkan secara bersama antara komuniti mereka tanpa membabitkan pihak luar.

“Sekarang isu dah jadi besar dengan pelbagai pihak campur tangan, bagi saya nasib penduduk di RPS Dala ini sudah cukup terbela, semua bantuan ada, desakan dan tentangan seperti ini tidak membawa mereka ke mana-mana,” katanya.