Kes bunuh jururawat: Polis buru Aliwajuwon

Noor Azam (tengah) menunjukkan gambar lelaki warga Nigeria dikenali sebagai Aliwajuwon yang diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Kharina pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Noor Azam (tengah) menunjukkan gambar lelaki warga Nigeria dikenali sebagai Aliwajuwon yang diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Kharina pada sidang media di Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Nigeria diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, lelaki Nigeria tersebut dikenali sebagai Aliwajuwon Gilbertalowonle yang telah berada di Malaysia sejak Januari lalu.

Menurutnya, usaha mencari lelaki dipercayai berusia lingkungan 30-an itu susulan tangkapan seorang lelaki Pakistan berusia 38 tahun dan wanita warga Nigeria berusia 35 tahun yang mana ketiga-tiga mereka ini merupakan rakan perniagaan telefon bimbit di sebuah pusat membeli-belah gajet elektronik terkenal di ibu negara.

"Awal pagi tadi (semalam) kita menahan dua suspek terbabit di sekitar Kuala Lumpur dan kini usaha menjejak seorang lagi masih dijalankan.

"Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Semalam, mayat Siti Kharina ditemui dalam keadaan terlentang tanpa berpakaian lengkap dengan kesan kelar di kepala, leher dan dada di sebuah kondominium di Cyberjaya, Selangor.

Noor Azam berkata, polis yang menerima panggilan orang awam kira-kira jam 2.30 petang menyatakan terdapat darah mengalir dari pintu sebuah kediaman tersebut telah bergegas ke lokasi dan pemeriksaan di lokasi menjumpai beberapa barang seperti pisau dan baju.

Artikel Berkaitan:

Aliwajuwon diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Kharina.
Aliwajuwon diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Kharina.

Selain itu, polis menolak unsur samun dalam kes Siti Kharina kerana dokumen dan barang kemas mangsa tidak hilang.

“Kami tidak menemui sebarang kesan pecah rumah dalam rumah mangsa kerana barang berharga mangsa tidak diambil,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya percaya mangsa telah dibunuh sejak empat hingga lima hari lalu. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian termasuk merekod keterangan ahli keluarga mangsa.

"Kita akan siasat semua aspek dan polis kini menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Serdang," katanya.

Dalam pada itu, polis turut mengesahkan kondominium terbabit disewa oleh mangsa.

Terdahulu, pada 10 Mei lalu, polis menerima laporan pada jam 4.20 petang mengenai kehilangan mangsa. Mangsa dipercayai telah keluar rumah pada 9 Mei namun tidak pulang ke kampungnya di Kampung Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.

Mangsa telah berkahwin serta mempunyai tiga anak perempuan berumur 14 tahun serta sepasang kembar berumur 10 tahun.

Dalam pada itu, adik kepada Siti Kharina iaitu Siti Khairani Mohd Kamarudin, 36, memaklumkan bahawa kakaknya dikebumikan di Kampung Tengah Seri Menanti, Negeri Sembilan.

"Assalamualaikum, kakak saya Siti Kharina telah dijumpai dan sudah meninggal dunia. Jenazah akan dikebumikan di Kampung Tengah Seri Menanti berkemungkinan besar selepas Asar (semalam). Jika berniat untuk ziarah boleh ke Kampung Tengah Seri Menanti," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.