Politik dalam masjid tindakan biadab: Sultan Johor

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah ada menerima aduan serta rasa tidak selesa masyarakat terhadap Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong memberi ucapan di dalam Masjid Tenang Stesyen di Labis, Segamat pada 10 Mei lalu.

Baginda bertitah, tindakan Ahli Parlimen tersebut mendatangkan rasa kurang senang, kecewa yang amat mendalam dan menimbulkan bantahan umat Islam setempat dan di negeri ini.

“Justeru, saya menyimpulkan tindakan ini sebagai pencabulan serius terhadap kesucian masjid dan sekali gus menggugat kedudukan Islam sebagai agama Negeri Johor Darul Ta’zim,” titahnya seperti dipetik dari laman sesawang royaljohor.com.my di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut bertitah, tindakan Hok Liong itu sebagai pelanggaran sempadan yang telah baginda Tuanku sebagai Ketua Agama Islam Negeri Johor gariskan sebelum ini.

“Apatah lagi larangan ini baharu sahaja saya tegaskan semula melalui Pekeliling Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” titahnya.

Baginda bertitah, tindakan tersebut juga disimpulkannya sebagai wujud pemimpin politik yang tidak sensitif terhadap undang-undang, peraturan dan pekeliling dikeluarkan oleh MAINJ dan yang berkuatkuasa di dalam negeri ini.

“Perbuatan Ahli Parlimen tersebut dan mereka yang bertanggungjawab menganjurkannya telah menggores perasaan umat Islam terutama dalam bulan Ramadan yang mulia ini di mana umat Islam dianjurkan untuk berkasih sayang dan mengelakkan perpecahan serta merapatkan saf dan perpaduan.

“Pelanggaran dan pencabulan tersebut adalah satu tindakan biadab dan tidak beretika oleh pihak-pihak tertentu dan yang ada berkepentingan serta tidak boleh diterima sama sekali kerana ianya jelas meremehkan pegangan dan amalan agama Islam yang telah dibina sejak zaman berzaman di negeri ini,” titahnya.

Artikel Berkaitan:

Sultan Johor bertitah, menzahirkan keyakinan Ahli Parlimen terbabit dan pihak-pihak yang ada berkepentingan akan menafikan bahawa mereka telah berucap berkaitan politik di dalam majlis tersebut.

“Namun saya konsisten menegaskan bahawa masjid dan surau hendaklah tidak dibenarkan dan dihalang sama sekali dari sebarang aktiviti ahli-ahli politik kepartian kerana banyak aktiviti anjuran individu yang mewakili parti politik seringkali diwarnai dengan adu domba, kata mengata, fitnah dan medan untuk meraih simpati masyarakat untuk menaikkan populariti mereka bagi meraih sokongan.

“Sedangkan dalam waktu yang sama musuh-musuh politik dan yang tidak sehaluan dengan mereka menjadi jemaah dalam masjid tersebut dan boleh mewujudkan rasa tidak selesa di kalangan masyarakat,” titahnya.

Titah Sultan Johor menerusi Facebooknya hari ini.
Titah Sultan Johor menerusi Facebooknya hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, institusi masjid di Johor adalah zon bebas politik kepartian sekali gus merupakan tempat bagi mereka yang mahukan ketenteraman jiwa dan suasana damai bagi mendekatkan dirinya kepada ALLAH SWT.

Baginda menegaskan semua ahli politik atau mereka yang mewakili mana-mana parti politik tidak boleh dibenarkan berucap dan menjalankan aktiviti di dalam masjid bagi mengelakkan benih-benih perpecahan masyarakat dimulakan.

“Justeru itu, saya mahu MAINJ mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pentadbir masjid yang menyediakan platform kepada ahli-ahli politik menjalankan aktiviti mereka di masjid dan dalam masa yang sama, meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi menghalang aktiviti seumpama itu berlaku lagi,” titahnya.

Selain itu, Sultan Johor bertitah, Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang dibaca bersama Perlembagaan Persekutuan hendaklah menjadi panduan kepada setiap rakyat.

“Tindakan mana-mana pihak selain saya dan Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Johor memberi izin penggunaan masjid kepada ahli politik dan penganjur-penganjurnya akan membawa implikasi bahawa pihak tersebut telah membuat tindakan yang melangkaui bidang kuasa mereka kerana ianya melanggar peraturan berkaitan yang telah dikuatkuasakan di negeri ini,” titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang terlibat melakukan pelanggaran dan pencabulan terhadap perkara itu mengikut peruntukan enakmen, pekeliling dan arahan yang sedang berkuatkuasa.

“Sebagai ketua agama Islam Negeri Johor, saya tegaskan sekali lagi dan tidak apologetik untuk mengambil pendirian bahawa demi menjamin kesucian, ketinggian agama Islam dan maruah serta martabat umat Islam, keharmonian, perpaduan dan kesatuan di antara pelbagai kaum dan agama dapat terus dinikmati oleh Bangsa Johor.

“Semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di Negeri Johor Darul Ta’zim hendaklah segera dihentikan dan pencabulan yang telah berlaku tidak boleh berulang lagi. Insaf dan sedarlah semua pihak sebagai bangsa Johor, kita hendaklah mematuhi cara hidup, budaya, etika, disiplin dan adab mulia yang menjadi amalan di Negeri Johor Darul Ta’zim zaman berzaman,” titahnya.

Terdahulu tular di media sosial gambar seorang wakil rakyat dipercayai Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong sedang memberi ucapan di dalam Masjid Tenang Stesyen di Labis, Segamat, baru-baru ini.