Tengah lalok rupanya...

Pasangan anak-beranak antara lima penagih diberkas AADK Daerah Sabak Bernam dalam Ops Cegah sekitar daerah ini, pagi tadi.
Pasangan anak-beranak antara lima penagih diberkas AADK Daerah Sabak Bernam dalam Ops Cegah sekitar daerah ini, pagi tadi.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang lelaki memberi alasan kononnya baru mengurut pelanggan ketika serbuan dilakukan di kediamannya di Kampung Sekendi, di sini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sabak Bernam.

Dalam serbuan 'Ops Cegah' yang dilakukan jam 2.30 pagi itu bagaimanapun mendapati lelaki berusia 55 tahun itu bersama empat rakan lain sedang khayal dalam pengaruh dadah.

Ketua Daerah AADK Sabak Bernam, Zulazli Hashimuddin berkata, selain lelaki itu, anak lelakinya berusia 30 tahun turut diberkas dalam serbuan berkenaan.

"Kesemua rakan mereka sempat melarikan diri, manakala anaknya yang berada di sebuah bilik lain dalam rumah itu menyorok di dalam almari bagi mengelak dicekup AADK," katanya.

Zulazli berkata, dua beranak itu masing-masing positif dadah jenis methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Mengulas lanjut Zulazli berkata, operasi yang diketuai Pegawai AADK, Mohd Noor Akmal Abd Razak dilaksanakan selama lima jam bermula jam 11 malam semalam.

Zulazli memberitahu pihaknya turut menahan tiga lagi lelaki berusia antara 34 hingga 43 tahun di tiga lokasi berbeza sekitar daerah ini.

"Hasil ujian saringan air kencing dijalankan, dua suspek positif dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama 10 hari sehingga 25 Mei di Pusat Tahanan Reman AADK Daerah Kuala Selangor.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.