Kerajaan didesak bayar segera hasil sawit

Kelapa sawit
Kelapa sawit
A
A
A
KUANTAN - Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) yang memperjuangkan isu Felda bertegas meminta kerajaan melunaskan bayaran tertunggak hasil sawit segera kepada peneroka di seluruh negara sejak bulan lalu.

Malah pertubuhan itu turut mendesak kerajaan menetapkan harga lantai bagi setiap tan sawit pada kadar RM350 berikutan kejatuhan harga sawit yang sangat kritikal.

Pegerusinya, Roslan Md Esa berkata, keadaan itu memberi tekanan kepada peneroka yang menanggung kos yang tinggi dan ia membebankan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

“Peneroka turut berharap kerajaan membayar hasil sawit setiap dua minggu sekali bagi meringankan beban peneroka.

"Kami juga merayu pada kerajaan supaya hutang peneroka yang tidak munasabah dihapuskan seperti yang tertera dalam janji manifesto mereka semasa PRU14 yang lalu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya menyerahkan memorandum kepada menteri dan Felda di Parlimen baru-baru ini bagi membolehkan kerajaan segera menyelesaikan kemelut isu yang dihadapi warga Felda

“Kami harapkan memorandum ini nanti menjadi salah satu solusi kepada Felda dalam menyelesaikan kemelut warga Felda. Jangan biar peneroka merempat di bumi sendiri,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sehingga kini gagal melaksanakan agenda perubahan malah warga Felda terus dihimpit kedukaan dan kehidupan berubah apabila apa yang diusahakan langsung tidak setimpal dengan keringat dan pengorbanan.

“Janji PH sebelum pilihan raya adalah mahu menyelesaikan kemelut yang dihadapi warga Felda tapi nampaknya hanya tinggal janji. Malah peneroka merempat dibumi sendiri.
Artikel Berkaitan:


“Pengurusan Felda di peringkat tertinggi termasuk menteri dan timbalan yang menjaga hal ehwalnya dilihat seperti terdiam kaku dengan semua yang berlaku depan mata, seterusnya diam membisu,” katanya.