Lelaki bom ikan di Pulau Perhentian ditahan

Mohd Zamri
Mohd Zamri
A
A
A

KUALA BESUT - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat melakukan aktiviti mengebom ikan di kawasan Taman Laut Pulau Perhentian. Suspek berusia 46 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Air Tawar dekat sini jam 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, tangkapan tersebut susulan laporan yang dibuat Pejabat Taman Laut Daerah Besut mengenai kejadian mengebom ikan di kawasan Tokong Laut, Pulau Perhentian Besar.

Menurutnya, sebelum itu pada Isnin lepas, agensi berkenaan mendapat aduan ada berlaku aktiviti mengebom ikan di situ dan sepasukan kakitangan Pejabat Taman Laut bergegas ke lokasi.

"Anggota terbabit mendapati pelaku sudah tidak ada di situ tetapi berdasarkan keadaan bangkai ikan yang mati di permukaan air mengesahkan ada berlaku aktiviti mengebom ikan di situ, " katanya.

Mohd Zamri berkata, hasil siasatan, Pejabat Taman Laut dan dibantu pihak polis telah menahan suspek kerana dipercayai melakukan perbuatan menyalahi undang-undang itu.

Menurutnya, suspek dikatakan menjual hasil laut yang dibom itu kepada peniaga-peniaga ikan sekitar Kuala Besut.

"Suspek diserahkan kepada pihak Taman Laut untuk tindakan lanjut kes disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1)(a) Akta Perikanan 1985, namun suspek ditahan reman di Balai Polis Kuala Besut," katanya.

Artikel Berkaitan: