Sindiket sorok diesel bersubsidi di kawasan terpencil terbongkar

Sazali (tengah) menunjukkan antara rampasan peralatan pam minyak yang digunakan untuk pemindahan diesel subsidi di sebuah gudang di Jalan Tukang Besi, Rawang pada Isnin.
Sazali (tengah) menunjukkan antara rampasan peralatan pam minyak yang digunakan untuk pemindahan diesel subsidi di sebuah gudang di Jalan Tukang Besi, Rawang pada Isnin.
A
A
A

RAWANG - Kegiatan sindiket seleweng diesel bersubsidi yang 'berselindung' di sebuah gudang haram di Jalan Tukang Besi, di sini sejak awal tahun ini terbongkar selepas diserbu pada 5 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Sazali Mohamad berkata, serbuan kira-kira jam 9 malam itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon 1 Tengah Unit 1.

Menurutnya, pemeriksaan menemui beberapa muatan tangki diesel, tiga tangki skid bersaiz 30,000 liter dan tiga lori bonded yang sudah diubah suai.

“Turut ditemui adalah peralatan pam minyak bagi tujuan penyelewengan diesel bersubsidi dianggarkan 48,600 liter bernilai RM104,490 membabitkan cukai dan duti berjumlah RM19,920,” katanya dalam sidang akhbar di gudang berkenaan dekat sini pada Isnin.

Sebuah gudang disyaki seleweng diesel di Jalan Tukang Besi, Rawang diserbu kastam 5 Julai lalu
Sebuah gudang disyaki seleweng diesel di Jalan Tukang Besi, Rawang diserbu kastam 5 Julai lalu

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menjalankan aktiviti pembekalan dan penyimpanan diesel bersubsidi di gudang persendirian yang terletak di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini menjadikan gudang ini sebagai lokasi penyimpanan atau transit diesel kerana kedudukannya berada jauh dari pandangan awam.

"Sindiket ini juga dipercayai terbabit menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi kepada pihak industri tempatan.

“Berdasarkan maklumat diperolehi, sindiket ini dipercayai membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter sebelum dijual kepada pemain industri dengan harga RM4 seliter berbanding harga ditetapkan untuk pihak industri iaitu sekitar RM5 seliter,” katanya.

Jelasnya, semakan lanjut di gudang itu juga tidak menemui sebarang dokumen berkaitan kelulusan penyimpanan barang kawalan.

“Usaha sedang giat dilakukan untuk mengesan pemilikan atau sindiket yang terbabit untuk tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961," katanya.

Dalam pada itu, Sazali berkata, penyimpanan diesel bersubsidi adalah diisytiharkan sebagai Barang Kawalan Berjadual di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan memerlukan lesen borong diluluskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Urus niaga barang-barang kawalan berjadual memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Beliau turut meminta orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran di semua negeri untuk tindakan lanjut.