Malaysia perlu percepatkan pembuatan mampan dalam industri aeroangkasa

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia memerlukan kepantasan dan skala bagi mempercepatkan amalan pembuatan mampan dan membangunkan industri aeroangkasa negara secara proaktif, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, negara memerlukan rakan kongsi seperti Boeing untuk perkongsian teknologinya dan membantu menjadikan pembuatan mampan satu realiti di Malaysia.

Menyebut inisiatif Boeing 2017 pada kumpulan cetakan 3D untuk kemudahan dapur pesawat 787 Dreamliner, menteri itu memuji Boeing atas inisiatif perintis kemampanannya.

"Ramai yang masih tidak tahu mengenai perkara ini, proses kecekapan sumber Boeing mampu mengurangkan penggunaan air, bahan, masa dan tenaga sambil mengurangkan lebihan sisa industri dan pelincir yang digunakan dalam proses pemesinan standard.

"Saya percaya Boeing berjaya mengurangkan di antara 30 hingga 39 peratus pelepasan karbon, sumber dan sisa ke tapak pelupusan sampah, atau pengurangan kira-kira US$3 juta untuk kos pembinaan bagi setiap pesawat yang dibina," katanya pada majlis perasmian Forum Rangkaian Bekalan Aeroangkasa Boeing-Naico di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, teknologi pembuatan mampan juga sinonim dengan penjimatan kos yang besar. "Saya berharap Boeing bersedia berkongsi teknologi sedemikian dengan pembekalnya di Malaysia kerana di peringkat global, peluang kita untuk mengurangkan gas rumah hijau dengan cepat semakin habis," katanya.

Tambahan pula, beliau berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhasrat untuk menjadikan pembekal dalam setiap ekosistem pembuatan menjadi lebih berdaya tahan melalui misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 mengenai sekuriti ekonomi dan keterangkuman.

Beliau berkata, industri aeroangkasa juga memainkan peranan penting dalam memajukan misi-misi lain yang digariskan dalam NIMP 2030, terutamanya dalam memajukan ekonomi yang rumit, menerima teknologi dengan cepat untuk memupuk negara yang bertenaga secara digital, dan mendorong sifar bersih.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, pelabur seperti Boeing 'memenuhi atau menepati semua kriteria atau jangkaan' apabila untuk merealisasikan sasaran NIMP 2030.

"NIMP 2030 melengkapkan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 untuk mengubah Malaysia menjadi hab global bagi pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa yang mampan,” tambahnya.

Sementara itu, MITI berharap lebih banyak insentif atau peruntukan dimasukkan dalam Belanjawan 2024 untuk industri aeroangkasa di Malaysia.

Tengku Zaful berkata, insentif tambahan itu akan membantu menyokong dan melengkapkan misi yang digariskan dalam NIMP 2030 dan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

"Saya harap ada insentif atau peruntukan tambahan untuk industri aeroangkasa dan sudah tentu, permintaan itu telah dibuat dan saya harap ia didengari tetapi apa yang lebih penting ialah dasar telah ada untuk menyokong industri dan lebih banyak insentif pasti membantu,” katanya.

Tengku Zafrul menyatakan Asia Tenggara merupakan rantau yang paling pesat berkembang di dunia untuk industri aeroangkasa setakat ini. - Bernama