Bilangan isi rumah miskin, miskin tegar di Kelantan tertinggi di Semenanjung

Fadillah berucap merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan, pada Selasa. - Foto Bernama
Fadillah berucap merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan merekodkan 67,772 bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar, sekali gus yang tertinggi di Semenanjung.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengikut rekod sehingga 11 September lalu, jumlah yang direkodkan bagi KIR miskin di Kelantan ialah seramai 57,355 orang manakala 10,417 bagi KIR miskin tegar.

"Oleh demikian, saya menyeru semua ketua-ketua jabatan dan agensi dapat melihat perkara ini dengan serius serta mendahulukan faktor kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Kelantan, di sini pada Selasa.

Ujar beliau, Kelantan adalah sebuah negeri yang strategik, mempunyai sempadan darat negara, hasil sumber asli di darat dan laut yang banyak.

"Rakyatnya yang majoritinya Melayu dikenali sentiasa gigih bekerja serta pandai berniaga. Berdasarkan sejarah, disebabkan kedudukan geografinya yang strategik, pihak Jepun menjadikan negeri ini tempat pendaratan yang pertama pilihan mereka," katanya.

Justeru, kata Fadillah, Kerajaan Persekutuan memberi perhatian sepenuhnya kepada Kelantan selain Terengganu, Perlis dan Kedah dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri.

"Kesemua negeri terbabit disenaraikan berdasarkan perancangan pembangunan negara melalui Rancangan Malaysia Ke-12 dan kerajaan akan membantu untuk melaksanakan projek yang lebih berkesan dan pantas tanpa mengorbankan tatakelola.

Artikel Berkaitan:

"Kelantan menjadi negeri tumpuan antara empat negeri terbabit. Kita juga mahu mempercepatkan projek yang sudah dilaksanakan di negeri ini.

"Tidak guna jika peruntukan sebanyak RM2 bilion sudah diluluskan tetapi pelaksanaan tidak dapat dilakukan dengan berkesan," katanya.

Fadillah berkata, apabila terdapat penyelarasan dengan adanya Pejabat Pembangunan Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), diharap memberi manfaat dan dapat berbincang supaya seluruh pendekatan dapat dilaksanakan.

"Berdasarkan rekod, Kelantan menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam kalangan empat negeri tersebut bagi 2023, kerajaan Persekutuan sentiasa serius dalam memastikan pembangunan terus dilaksanakan tanpa mengira perbezaan politik.

"Bagi merealisasikan amanah tersebut, ia disampaikan kepada semua ketua jabatan agensi Persekutuan dan pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka perlu memainkan peranan bukan hanya difokuskan kepada pembangunan fizikal semata, tetapi ia juga perlu dilihat dari aspek pembangunan sosial," katanya.