Putrajaya rekod pendapatan isi rumah dan perbelanjaan tertinggi

Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya berada di kedudukan tertinggi purata pendapatan isi rumah kasar bulanan iaitu RM13,473 berbanding negeri lain di seluruh negara. - Foto Bernama
Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya berada di kedudukan tertinggi purata pendapatan isi rumah kasar bulanan iaitu RM13,473 berbanding negeri lain di seluruh negara. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya berada di kedudukan tertinggi purata pendapatan isi rumah kasar bulanan iaitu RM13,473 berbanding negeri lain di seluruh negara.

Walau bagaimanapun Putrajaya juga merekodkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi iaitu RM8,897 melebihi purata corak perbelanjaan isi rumah RM5,150.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, wilayah itu lebih tertumpu kepada penjawat awam yang didorong peningkatan secara konsisten.

"Di samping itu ia juga dijamin oleh sektor swasta yang memilih untuk berada di sini dan bekerja di Kuala Lumpur," katanya menerusi sidang akhbar selepas pelancaran Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini pada Jumaat.

Menurutnya, purata pendapatan isi rumah kasar bulanan turut mengambil kira saiz isi rumah yang mana saiz isi rumah mengecil secara automatik akan mempengaruhi corak pendapatan.

Kuala Lumpur berada di kedudukan kedua purata pendapatan isi rumah kasar bulanan iaitu RM13,325, disusuli Selangor (RM12,233) dan Johor (RM8,517) yang sekali gus mencatatkan pendapatan isi rumah bulanan purata yang melebihi paras nasional RM8,479 pada tahun 2022.

Selangor turut mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan tertinggi bagi pendapatan purata iaitu sebanyak 4.1 peratus daripada RM10,827 kepada RM12,233, manakala Labuan merekodkan kemerosotan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dengan pengurangan 0.3 peratus iaitu RM8,319 (2019) kepada RM8,250.

Lima negeri lain turut mencatatkan perbelanjaan penggunaan isi rumah melebihi purata nasional adalah Kuala Lumpur (RM7,823), Selangor (RM6,770), Melaka (RM5,707), Johor (RM5,342) dan Pulau Pinang (RM5,322).

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan perbelanjaan yang dibuat oleh isi rumah, komposisi corak perbelanjaan iaitu 66.9 peratus bertumpu kepada empat kumpulan perbelanjaan utama.

Ia melibatkan 23.2 peratus dibelanjakan untuk perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, makanan dan minuman (16.3 peratus), restoran dan hotel (16.1 peratus) dan pengangkutan (11.3 peratus).

"Perbelanjaan ke atas kumpulan restoran dan hotel meningkat 2.4 mata kepada 16.1 peratus berbanding 13.7 peratus pada tahun 2019," katanya.

Ujar beliau keadaan itu selari dengan peningkatan perbelanjaan makan di luar rumah kepada 15.3 dan penurunan perbelanjaan makanan dan minuman kepada 16.3 peratus.

Pada tahun 2019, perbelanjaan di luar mencatatkan 11.2 peratus manakala 16.9 peratus bagi perbelanjaan makanan dan minuman.

Dari sudut corak agihan pendapatan pula, had pendapatan B40 yang merangkumi 3.16 juta isi rumah adalah RM5,249.

Kumpulan M40 pula merekodkan julat pendapatan di antara RM5,250 hingga RM11,819.

Sementara itu, sebanyak 1.58 juta isi rumah berada dalam kumpulan T20 dengan pendapatan melebihi RM11,820.

"Kumpulan T20 memiliki 46.3 peratus dari agihan keseluruhan pendapatan isi rumah, menurun daripada 46.8 peratus pada 2019, M40 memiliki 37.6 peratus, manakala B40 pula hanya menguasai 16.1 peratus dari jumlah pendapatan, meningkat sedikit daripada 16.0 peratus pada 2019," katanya.

Beliau berkata, penemuan 2022 menunjukkan nilai Pekali Gini yang dikira berdasarkan pendapatan kasar telah mencatatkan penurunan sebanyak 0.003 mata indeks kepada 0.404 (2022) daripada 0.407 (2019).

"Ini bermakna jurang ketidaksamarataan pendapatan semakin mengecil sebanyak 0.3 peratus pada tahun 2022 berbanding 2019," katanya.

Bagi tempoh tersebut, pekali Gini di kawasan bandar menurun kepada 0.393 daripada 0.398 (2019) manakala pekali Gini di luar bandar juga menurun kepada 0.351 daripada 0.367.

Pekali Gini mengikut etnik juga menurun bagi semua etnik di mana Bumiputera kepada 0.387 daripada 0.389, etnik Cina 0.412 daripada 0.417 dan etnik India 0.406 daripada 0.411.

Pekali Gini adalah indikator statistik yang mengukur kesaksamaan agihan pendapatan isi rumah.

Meskipun secara umumnya pendapatan isi rumah di Malaysia semakin meningkat, namun begitu jurang pendapatan antara etnik masih ketara.

Jurang pendapatan antara etnik Cina dan etnik Bumiputera direkodkan pada kadar 1:0.71 (2022) berbanding 1:0.72 tahun 2019.

Bagaimanapun jurang pendapatan antara etnik Cina dan etnik India ialah 1:0.84 pada tahun 2022 menunjukkan keadaan yang sedikit lebih baik berbanding 2019 (1:0.83).

Dari sudut analisis insiden kemiskinan mutlak pula, Mohd Uzir berkata, nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi tahun 2022 meningkat kepada RM2,589 berbanding RM2,208 tahun 2019.

Insiden kemiskinan mutlak sebelum krisis kesihatan global adalah 5.6 peratus pada 2019.

"Berdasarkan kepada kajian anggaran kemiskinan yang dijalankan oleh DOSM kesan daripada pandemik Covid-19, insiden kemiskinan pada tahun 2020 telah meningkat kepada 8.4 peratus dan sedikit menurun kepada 8.2 peratus pada tahun 2021," katanya.