TNB Perak siap sedia hadapi musim perayaan

Abdul Yunus (tengah) bersama Raja Abd Jalil (kanan) menyampaikan replika cek berjumlah RM5,000 kepada Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Sayed Idris.
A
A

IPOH - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak membuat persediaan awal dengan mempersiapkan pasukan tunggu sedia di semua 16 cawangannya bagi memastikan bekalan elektrik terjamin sepanjang musim perayaan ini.

Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid berkata, pasukan yang merangkumi juruteknik, jurutera dan unit pembaikan sistem voltan tinggi serta voltan rendah itu sebagai persediaan sekiranya berlaku gangguan yang disebabkan peningkatan kadar penggunaan elektrik.

Menurutnya, berdasarkan rekod sebelum ini, setiap kali musim perayaan sama ada di kawasan taman perumahan atau pun kampung, penggunaan bekalan elektrik naik secara mendadak.

"Sepertimana lazim setiap tahun, kita akan memastikan bekalan elektrik terjamin secara berterusan sama ada sebelum, ketika atau selepas hari raya.

"Di keseluruhan kawasan Perak, kita mengambil persediaan lebih awal yang mana secara teknikalnya sudah ada pasukan-pasukan 'standby' ditugaskan untuk tunggu sedia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa TNB bersama ketua jabatan negeri dan warga media Perak malam tadi.

Beliau berkata, setakat ini, tiada mana-mana kawasan di Perak mengalami gangguan bekalan elektrik yang kritikal pada musim perayaan.

"Gangguan ini biasa hanya di kawasan terpencil sahaja tetapi itu hanya dulu-dulu, sudah lama perkara ini (gangguan elektrik) tidak berlaku.

"Kita telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan walau ramai yang balik ke kampung masing-masing, mereka tetap dapat nikmati bekalan elektrik yang berterusan," katanya.

Dalam majlis berkenaan, TNB turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi menjalankan aktiviti untuk media.

Hadir sama, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari.