Empat sekawan dituduh bunuh warga emas

Empat sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling atas pertuduhan membunuh warga emas.
Empat sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling atas pertuduhan membunuh warga emas.
A
A
A

BALING - Empat sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling, di sini pada Selasa atas kesalahan membunuh seorang warga emas dalam kejadian di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, 1 Oktober lalu.

Tertuduh, Tamilselvam Kumarin, 25, Vickarran Chanderasagaran, 33, Sarim Omar, 33, dan Sureshkumar Sivasubramaniam, 21, dituduh membunuh Kanan Shahadevan, 71, antara jam 3 petang hingga 4.20 petang.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah bersama-sama bagi mencapai niat bersama membunuh warga emas berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun.

Sekiranya tidak dihukum gantung hendaklah dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.

Kesemua tertuduh mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Afandi Zulkifli di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mahkamah menetapkan 14 Disember depan sebagai tarikh sebutan untuk laporan kimia dan forensik.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas yang maut dibunuh dalam kejadian samun di Taman Desa Bidara dijerut menggunakan kain pelekat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Ahad, suspek dipercayai masuk ke dalam rumah mangsa sebelum bertindak menyamun dengan melarikan seutas rantai emas, sebentuk cincin yang dipakai dan dompet mangsa.