Belanjawan 2024: Beri tumpuan serius kepada pelajar IPTS

Gambar kecil: Amir Hamzah
Gambar kecil: Amir Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta memberi penumpuan serius terhadap nasib lebih 500,000 pelajar tempatan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menerusi pinjaman pendidikan dan pembelian tiket penerbangan dalam Belanjawan 2024.

Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa dan menyokong usaha kerajaan meningkatkan akses lepasan sekolah ke pendidikan tinggi.

“Saya juga berharap kerajaan memperluaskan kadar pembiayaan penuh 100 peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua pelajar dalam kategori M40 memandangkan mereka hanya ditawarkan pembiayaan pada kadar 75 peratus.

“Saya memohon agar kerajaan memperluaskan tawaran pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada pelajar bumiputera berkelayakan menuntut di IPTS setaraf kolej milikan bumiputera berstatus cemerlang (MyQUEST 2022–Berdaya Saing) yang menawarkan program pengajian peringkat diploma kategori kritikal.

“Kerajaan perlu memperluaskan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk mahasiswa universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kepada pelajar IPTS,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, tambah Amir Hamzah, Belanjawan 2024 yang berteraskan Memperkasa Ekonomi Madani akan bersifat lebih inklusif dan mesra mahasiswa memandangkan lebih separuh daripada keseluruhan pelajar dalam ekosistem pendidikan tinggi berada di 403 IPTS di seluruh negara.

Menurutnya, walaupun sektor pendidikan tinggi swasta telah diakui sebagai industri strategik negara kerana menyumbang RM31.5 bilion kepada pendapatan dan ekonomi negara, namun tidak pernah menerima suntikan serta insentif kewangan secara langsung daripada kerajaan berbanding sektor atau industri utama lain.

“Melalui Belanjawan Madani, kerajaan perlu membantu dan menyokong kelangsungan IPTS bumiputera untuk kekal beroperasi serta menawarkan pendidikan terbaik melalui pendekatan seperti menawarkan skim pembiayaan mudah kepada pelajar yang berkelayakan namun masih terkesan dengan pelbagai ketidaktentuan pasca-pandemik Covid-19 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, insentif pelan digitalisasi IPTS meningkatkan keupayaan proses pengajaran, infrastruktur dan kemudahan internet di kampus atau pusat pembelajaran perlu diperkenalkan,” ujarnya.

Jelasnya, PKIBM menaruh harapan tinggi kepada kerajaan untuk mengambil perhatian ke atas keperluan pelajar IPTS dalam negara dan pada masa sama, menyokong kelangsungan institusi pendidikan tinggi milikan Bumiputera yang dibangkitkan.