Pencapaian Hangzhou 2022 beri gambaran sukan negara perlu dana lebih besar

Kim Fatt bercakap dalam sidang akhbar berkenan laporan keseluruhan prestasi kontinjen negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Ahad. - Foto: Bernama
Kim Fatt bercakap dalam sidang akhbar berkenan laporan keseluruhan prestasi kontinjen negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

PENCAPAIAN kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou 2022 memberi gambaran bahawa peruntukan dana lebih besar diperlukan untuk memacu industri sukan tanah air ke tahap terbaik.

Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt menyifatkan faktor kewangan mempunyai peranan besar dalam kemajuan sukan seperti yang dilakukan kuasa besar antaranya juara keseluruhan China, Jepun, Korea Selatan dan India.

Beliau, yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) berkata, perkara itu telah disuarakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelang pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini.

“Memang kita perlukan lebih geran untuk majukan sukan di Malaysia,” katanya pada sidang media rumusan prestasi kontinjen negara di Sukan Asia ke-19, pada Ahad.

Pada masa sama, Kim Fatt berpuas hati dengan prestasi kontinjen negara yang berjaya melepasi sasaran 27 pingat selepas mengumpul keseluruhan 32 dengan pecahan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa.

Katanya, Malaysia mempunyai potensi menuai lebih banyak pingat dan menambah kutipan emas sekiranya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang turut bersama kontinjen.

Namun, beliau berkata, disebabkan jumlah atlet seramai 288 tidak sebesar kontinjen ke Jakarta-Palembang 2018 kira-kira 400 atlet, nisbah atlet setiap pingat bertambah baik dengan satu pingat untuk sembilan atlet.

Azizulhasni, yang juga pemenang emas dalam acara pecut individu lelaki pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, terpaksa menarik diri susulan kecederaan yang dialami sewaktu sesi latihan di Velodrom Nasional di Nilai.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pada edisi kali ini Malaysia kehilangan 12 pingat akibat sukan tenpin boling dan pencak silat tidak dipertandingkan, selain ketiadaan Azizulhasni menambah resah mengenai pungutan pingat.

“Tetapi kontinjen kita telah buktikan bahawa tanpa boling, pencak silat dan Azizulhasni, mereka masih lagi berjaya membawa pulang 32 pingat keseluruhan termasuk enam emas, kurang satu emas berbanding edisi 2018,” katanya.

Pungutan keseluruhan 32 pingat termasuk enam emas, menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dan ketiga terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara di belakang Thailand yang meraih 12 emas, 14 perak dan 32 gangsa diikuti Indonesia dengan 7-11-18.

Juara bertahan China mengekalkan dominasi selaku kuasa besar Sukan Asia sejak edisi 1982 di New Delhi, India apabila mengumpul 201-111-71 diikuti Jepun (52-67-69) dan Korea Selatan ketiga dengan 42-59-89. - Bernama


PEMENANG PINGAT MALAYSIA DI HANGZHOU 2022

EMAS

Pelayaran - Nur Shazrin Mohamad Latif - ILCA 6 Wanita

Ekuestrian - Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil - Dressage Individu

Skuasy - S.Sivasangari, Rachel Arnold, Aifa Azman, Aira Azman - Berpasukan Wanita

Skuasy - S.Sivasangari - Perseorangan Wanita

Skuasy - Ng Eain Yow - Perseorangan Lelaki

Karate - Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik - Kumite Lelaki - 84kg

PERAK

Wushu - Tan Cheong Min - Nanquan Nandao Wanita

E-sports - Lai Chia Chien, Nicholas Ng, Ong Jun Yang, Eng Jun Hao, Yong Zhan Quan & Chong Han Hui - Arena of Valor

Sepak Takraw - Muhammad Zarif Marican, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Mohamad Azlan Alias, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Aidil Aiman Zawawi, Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, Farhan Adam, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi & Muhammad Zaim Razali - Regu Lelaki

Terjunan - Nur Dhabitah Sabri-Wendy Ng - 3m Papan Anjal Seirama Wanita

Skuasy - Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman - Beregu Campuran

Karate - Lovelly Anne Robberth - Kata Individu Wanita

Karate - Nathalia Sherawinnie, Nancy Nelly & Lovelly Anne - Kata Berpasukan Wanita

Sepak Takraw - Muhammad Zarif Marican, Mohamad Azlan Alias, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir & Mohammad Syahir Mohd Rosdi - Regu Lelaki

GANGSA

Pelayaran - Muhammad Asnawi Iqbal Adam - ILCA 4 Lelaki

Pelayaran - Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen - Women's Windsurfing RS:X

Berbasikal Trek - Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi & Nurul Aliana Syafika Azizan - Trio Pecut Wanita

Berbasikal Trek - Umar Hasbullah, Muhammad Fadhil Mohd Zonis & Muhammad Ridwan Sahrom - Trio Pecut Lelaki

Berbasikal Trek - Muhammad Shah Firdaus Sahrom - Pecut Lelaki

Gimnastik Artistik - Muhammad Sharul Aimy - Melombol Lelaki

Berbasikal Trek - Muhammad Shah Firdaus Sahrom - Keirin Lelaki

Skuasy - Yuen Chee Wern, Ng Eain Yow, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar & Mohammad Syafiq Mohd Kamal - Berpasukan Lelaki

Terjun - Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri - 10m Platform Seirama Wanita

Olahraga - Sheeren Samson Vallabouy - 400m Wanita

Terjun - Muhammad Syafiq Puteh-Ooi Tze Liang - 3m Papan Anjal

Olahraga - Muhammad Azeem Mohd Fahmi - 100m Lelaki

Terjun - Enrique Maccartney Harold-Bertrand Rhodict Lises - 10m Platform Seirama Lelaki

E-sports - Yap Jian Wei, Tue Soon Chuan, Thiay Jun Wen, Cheng Jin Xiang, Chan Kok Hong, Ng Wei Poong - Dota2

Terjun - Datuk Pandelela Rinong - 10m Platform Wanita

Olahraga - Azreen Nabila, Zaidatul Husniah, Nur Afrina, Shereen Samson - 4x100m Wanita

Memanah - Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz & Mohamad Syafiq Md Ariffin - Compound Berpasukan Lelaki

Badminton - Aaron Chia-Soh Wooi Yik - Beregu Lelaki