Kem golf fasa akhir pemilihan atlet Sukan Asia Hangzhou 2023

Mohd Anwar - Foto Bernama
Mohd Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Golf Malaysia (MGA) kini berada di fasa akhir dalam pemilihan atlet yang bakal menggalas cabaran ke Sukan Asia Hangzhou 2023, September ini.

Presidennya, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, bagi edisi kali kini, skuad negara akan dibarisi pemain amatur terbaik yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, pemilihan pemain terbabit dibuat berdasarkan pemain yang berada di kedudukan tertinggi dalam Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR).

“Kita akan umumkan dalam masa terdekat, pemain kita sekarang berada di Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA) di AS,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pasukan Elit Program Pembangunan Remaja negara (NJDP) pada Ahad.

Berdasarkan senarai semasa WAGR, atlet lelaki terbaik negara Malcolm Ting Siong Hung yang menduduki ranking ke-210 manakala Jeneath Wong merupakan wakil terbaik kategori wanita dengan kedudukan ke-51.

Terdahulu, MGA melancarkan program NJDP, iaitu program pembangunan atlet golf remaja yang menumpukan kepada pembentukan pemain elit berprestasi tinggi.

Pengerusi NJDP, Fauzi Mesran berkata, program berkenaan bakal memberi bimbingan kepada 24 pemain terbaik yang dipilih untuk diberi pendedahan kepada kejohanan antarabangsa.

“Selama enam bulan kita buat pemilihan pemain terbaik ini, Dalam enam bulan mendatang kita akan adakan klinik golf untuk pemain remaja ini, selain mempersiapkan mereka ke tahap terbaik untuk kejohanan antarabangsa,” katanya. - Bernama