Pelumba Cub Prix kritikal: Doakan kesembuhan Md Izzat Zaidi

Aksi Md Izzat Zaidi pada pusingan ketujuh di Litar Permotoran Terengganu, September lalu. - foto mdizzatzaidi instagram
Aksi Md Izzat Zaidi pada pusingan ketujuh di Litar Permotoran Terengganu, September lalu. - foto mdizzatzaidi instagram
A
A
A

PASUKAN CKJ Racing mengesahkan pelumba pasukan berkenaan, Md Izzat Zaidi Salehan mengalami kemalangan apabila jentera Yamaha yang dipacunya melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke pagar keselamatan yang diletakkan di tepi litar pada sesi super-pole sempena perlumbaan Cub Prix Malaysia 2023 di Litar Bandar Medini Iskandar, di sini, pada Sabtu.

Perkara itu dimuat naik ke laman Facebook pasukan berkenaan pada Sabtu yang turut mendapat reaksi sama daripada pasukan-pasukan lain yang turut terlibat pada pusingan ke-8, bagi sesi kejuaraan berkenaan.

Dalam masa sama, pasukan CKJ Racing mendoakan agar pelumba pasukan berkenaan Md Izzat Zaidi Salehan diberikan kesembuhan dan kembali pulih setelah terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Rata-rata pasukan yang terlibat termasuk peminat-peminat sukan permotoran turut mendoakan agar Md Izzat Zaidi kembali sembuh seperti sediakala.

Sebelum itu, menerusi satu hantaran daripada isteri Md Izzat Zaidi yang dikenali sebagai elyshanorizal, pelumba berkenaan telah menjalani pembedahan berikutan mengalami banyak kecederaan di bahagian paru-paru dan sebahagian tulang rusuknya dilaporkan patah.

Malah, Md Izzat Zaidi yang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah, (HSA), Johor Bahru turut dilaporkan kritikal serta bergantung 100 peratus pada alat (mesin) bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, isterinya turut mengharapkan doa rakyat Malaysia agar diberi keajaiban dan kesembuhan buat suaminya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik pelumba berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor itu pada kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 adalah apabila muncul juara pada pusingan ke-4 yang berlangsung di Litar Sepang Selatan pada 10 hingga 11 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi pusingan pertama di Litar Utara Sepang pada 25-26 Februari Md Izzat Zaidi meraih kedudukan keempat diikuti tempat kelapan pada pusingan kedua di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan (11-12 Mac), tempat keenam (pusingan ketiga di Jasin Melaka, 27-28 Mei), tempat ke-10 (pusingan kelima di Litar permotoran Terengganu, 21-22 Julai), tempat ketujuh (pusingan keenam di Teluk Intan, Perak, 2-3 September) dan tidak menamatkan perlumbaan pada pusingan ketujuh yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu pada 22 hingga 23 September lalu.

Sementara itu, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri memaklumkan tidak ada menerima polis berhubung kemalangan berkenaan.