Dua penunggang maut nahas lima kenderaan di LPT1

Keadaan salah sebuah kereta dan kenderaan tentera yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 199.3 LPT1 arah timur di sini pada Sabtu.
Keadaan salah sebuah kereta dan kenderaan tentera yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 199.3 LPT1 arah timur di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk sebuah kenderaan tentera di Kilometer 199.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur di sini pada Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.15 petang itu, penunggang motosikal jenis Kawasaki KR150, Kamarul Husnain Khaharuddin, 27, beralamat di Pulau Tioman dan Mohammad Haniz Azroyy Hazani, 26, dari Felda Chini Timur 2, Pekan, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kenderaan tentera dan dua kereta jenis Perodua Axia berusia 21 hingga 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai mekanik dan operator kilang itu dipercayai menunggang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

Motosikal Yamaha RXZ ditunggang salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 199.3 LPT1 arah timur di sini pada Sabtu.
Motosikal Yamaha RXZ ditunggang salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 199.3 LPT1 arah timur di sini pada Sabtu.

"Ketika tiba di lokasi kajadian, motosikal ditunggang mereka dipercayai terlanggar sesama sendiri lalu terjatuh ke tengah laluan.

"Pada masa sama, kenderaan tentera dari arah sama gagal mengelak lalu terlanggar motosikal salah seorang mangsa yang terjatuh di laluannya.

"Salah sebuah kereta dipandu jururawat terlanggar bahagian belakang kenderaan tentera manakala kereta dipandu pelajar universiti yang bergerak di lorong kiri cuba mengelak ke lorong kecemasan namun terlanggar motosikal seorang lagi mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Zahari berkata, akibat kejadian kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Pihak polis telah meneliti rakaman video yang diperoleh dan keterangan saksi bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.