Penunggang motosikal maut terperosok bawah kereta

Anggota bomba dari BBP Kuala Lipis membantu mengeluarkan mayat mangsa yang terperosok di bawah kereta selepas terbabit kemalangan melibatkan lima kenderaan berhampiran susur keluar Felda Chegar Perah, Lebuhraya Central Spine Road (CSR), Lipis pada awal pagi Isnin.

A
A
A

KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut selepas terperosok di bawah sebuah kereta dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan berhampiran susur keluar Felda Chegar Perah, Lebuhraya Central Spine Road (CSR), Lipis pada awal pagi Isnin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 4.05 pagi.

"Lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

"Sebaik tiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan empat kereta dan sebuah motosikal manakala mangsa terperosok di bawah salah sebuah kereta terlibat," katanya.

Zulfadli berkata, pihak bomba terpaksa menggunakan khidmat lori tunda untuk mengalihkan kereta bagi mengeluarkan mayat mangsa.

"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," jelasnya.