Skuad takraw kena lipat ganda usaha saingi Thailand

Ahmad Jais bersama pemain takraw yang menggalas cabaran Malaysia dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua pada Sabtu. - Foto Persatuan Sepaktakraw Malaysia
Ahmad Jais bersama pemain takraw yang menggalas cabaran Malaysia dalam Sukan Asia Hangzhou 2022 di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua pada Sabtu. - Foto Persatuan Sepaktakraw Malaysia
A
A
A

SKUAD sepak takraw negara perlu segera melupakan kekecewaan tewas kepada Thailand di pentas Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Sabtu.

Sebaliknya, pengendali skuad negara Ahmad Jais Baharun mahu para pemain kembali memberi tumpuan meningkatkan prestasi masing-masing sebagai persiapan untuk menyaingi kuasa takraw dunia tersebut pada kejuaraan seterusnya.

"Secara keseluruhan kita meraih dua pingat perak di Hangzhou 2022, kita tersasar satu pingat seperti yang disasarkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia apabila kita gagal mengekalkan pingat emas dalam acara antara regu.

"Secara peribadi kita perlu konsisten melipatgandakan usaha dan bekerja keras untuk menyaingi Thailand dalam banyak elemen seperti serangan, bertahan, daya tahan, semangat juang, kerana ini antara elemen yang membezakan antara juara dan naib juara dalam perlawanan akhir," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Beliau juga berharap pemain mengambil segala pengalaman di Sukan Asia Hangzhou 2022 ini untuk kembali bangkit dengan iltizam tinggi pada kejuaraan lain pada masa depan.

"Ini penting kerana sekiranya kita masih tidak berusaha pada tahap disiplin terbaik bagi memperbaiki atau meningkatkan prestasi sememangnya adalah sukar untuk mengatasi pasukan Thailand.

"Saya harap pemain-pemain melupakan kekecewaan tewas kepada Thailand, sebaliknya kembali memberi tumpuan meningkatkan prestasi dan membaiki permainan, kerana saya percaya tiada yang mustahil sekiranya kita konsisten dan fokus meningkatkan prestasi pasukan," katanya

Kem sepak takraw sebelum itu menambah satu lagi koleksi pingat perak buat kontinjen negara dari temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Kilauan perak hadir selepas anak buah pengendali Ahmad Jais Baharun - Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Zarif Marican sekali lagi akur penguasaan Thailand apabila tewas 2-0 selepas memberikan tentangan sengit.

Kali ini gandingan Pansan Pichet, Yupadee Pattarapong dan Khamchan Sittipong menandakan sekali lagi penguasaan Thailand dalam sukan tradisi itu sukar digugat sejak dua dekad lalu.

Regu negara yang tampil dengan status pemenang pingat emas edisi Jakarta-Palembang 2018 juga tampak agresif set pertama bagi menebus kekecewaan selepas tewas 0-2 kepada Thailand dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan sebelum ini.

Bagaimanapun Thailand yang masih dimotivasikan kemenangan dalam acara berpasukan sebelum ini tenang mengawal gelanggang mengekang asakan Malaysia selain memanfaatkan peluang untuk kemenangan 21-15.

Sebelum itu, tekong berpengalaman yang juga kapten, Mohamad Syahir Rosdi diletakkan di bangku simpanan sebelum dia masuk bagi menggantikan Zarif Marican ketika regu negara ketinggalan 11-14 di set pertama.

Set kedua, Malaysia bermula baik meningkat serangan berjaya memberikan tekanan kepada pasukan Thailand apabila saling mengejar mata sebelum tewas 19-21 dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Dalam pada itu, Ahmad Jais mengakui secara keseluruhan prestasi para pemainnya menunjukan peningkatan berdepan Thailand dalam perlawanan akhir tersebut.

"Ya, secara keseluruhan pemain kita banyak menunjukan peningkatan dalam perlawanan berdepan Thailand pada pagi tadi berbanding dalam acara antara pasukan terutama dari peringkat kumpulan hingga separuh akhir sebelum ini.

"Set pertama kita cuba mengimbangi kekuatan pasukan Thailand, cuma kita masih tercari-cari rentak memberikan saingan apabila gagal mengambil bola pertama khususnya dari serangan pasukan Thailand yang memberikan kelebihan kepada lawan," ujar beliau.

Katanya lagi, pemainnya bermula baik pada set kedua hingga ke penghujung saingan apabila merapatkan mata dan memimpin permainan untuk beberapa ketika yang memberikan tekanan kepada pasukan Thailand ketika lawan menyusun serangan bertali arus menerusi tekong.

"Namun apabila beberapa kesilapan teknikal daripada line judge ia memberikan kelebihan kepada pasukan Thailand khususnya apabila dua bola keluar dikira sebagai masuk manakala satu bola hadangan kita yang masuk dikira batal, ini sedikit sebanyak menjejaskan momentum dan tumpuan para pemain negara untuk memberikan cabaran.

"Biarpun begitu, saya akui kena terima hakikat dengan hati terbuka dari segi prestasi kita masih perlu perbaiki dari semasa ke semasa khususnya dari segi pertahanan dan konsistensi serangan yang perlu diperkemaskan dan dipertingkatkan menjelang saingan Piala Dunia atau Istaf Super Series di India pada Februari depan," katanya.