Amizar nekad teruskan legasi Johari di Pelangai

Amizar diisytiharkan sebagai pemenang PRK DUN Pelangai di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul malam ini. - Foto Bernama
Amizar diisytiharkan sebagai pemenang PRK DUN Pelangai di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Datuk Amizar Abu Adam, 50, nekad untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun di Pelangai.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai selepas meraih 7,324 undi berbanding 4,375 undi yang diperoleh calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

"Saya bersyukur kepada ALLAH kerana telah memberikan kemenangan kepada BN dan saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi DUN Pelangai yang telah memilih BN sebagai parti yang akan memberikan perkhidmatan di Pelangai," ujar beliau kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas diumumkan memenangi kerusi tersebut di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai, Felda Kemasul di sini.

Amizar bersama bapanya, Abu Adam Duaji selepas diumumkan sebagai wakil rakyat baharu DUN Pelangai.
Amizar bersama bapanya, Abu Adam Duaji selepas diumumkan sebagai wakil rakyat baharu DUN Pelangai.

Ujar beliau lagi, penghargaan turut diberikan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pemimpin-pemimpin BN lain dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang telah banyak membantu perjalanan kempen beliau pada pilihan raya kecil (PRK) tersebut.

"Kepada penduduk Pelangai, pilihan raya sudah habis. Insya-ALLAH saya akan menjalankan amanah dan lebih penting meneruskan legasi Allahyarham Johari.

Artikel Berkaitan:

"Esok saya akan bertemu dengan pengundi dahulu di tempat yang saya fikirkan sesuai," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas jumlah peratusan keluar mengundi iaitu 72.12 peratus pada PRK tersebut, Amizar menyifatkan kesedaran rakyat semakin tinggi untuk mengundi

"Saya terasa juga dengan kehadiran pengundi, PRK yang tertinggi, agak luar biasa.

"Ini menunjukkan rakyat sudah bijak memilih dan bertanggungjawab untuk mengundi setiap pilihan raya," jelas beliau.