Kekurangan BPT di Perlis dijangka selesai seminggu lagi

Razali (kanan) semasa turun membuat tinjauan BPT di sebuah kilang pemborong beras di Perlis pada Jumaat.
Razali (kanan) semasa turun membuat tinjauan BPT di sebuah kilang pemborong beras di Perlis pada Jumaat.
A
A
A

ARAU - Isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) di Perlis dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi selepas Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Razali Saad membuat tinjauan terhadap permasalahan tersebut sejak beberapa hari lalu.

Razali yang turun padang bersama Seksyen Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Perlis selepas menerima aduan dan laporan daripada pengguna mendapati BPT sudahpun sedang berada dalam proses dipek sebelum diedarkan kepada peruncit.

Menurutnya, BPT didapati berkurangan di negeri ini disebabkan oleh gangguan bekalan dan barang keperluan tersebut akan mula diedarkan kepada peruncit di seluruh Perlis dalam tempoh seminggu ini.

"Kita melakukan tinjauan stok BPT di beberapa pemborong di negeri ini. Setakat ini memang mencukupi dan kini sedang berada dalam proses dipek untuk tujuan pengedaran kepada peruncit di seluruh Perlis.

"Kita termasuk agensi terbabit dalam pemantauan ini berkeyakinan bahawa BPT akan pulih dalam tempoh seminggu dan akan berada dalam pasaran," katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Jamin bagi meninjau bekalan BPT di dua kilang pemborong beras di sekitar Arau dan Padang Besar.

Tinjauan mendapati BPT sudahpun sedang berada dalam proses dipek sebelum diedarkan kepada peruncit di seluruh perlis.
Tinjauan mendapati BPT sudahpun sedang berada dalam proses dipek sebelum diedarkan kepada peruncit di seluruh perlis.

Ujar Razali, pemeriksaan mendapati semua premis pemborong beras mempunyai bekalan BPT mengikut lesen yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pemborong juga didapati menjalankan operasi mengikut lesen yang masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan.

Mengulas tentang isu kartel pula, pihaknya tidak menerima aduan tentang perkara tersebut dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat tentang dakwaan kartel mengawal perjalanan BPT jika ada.

"Sekiranya berlaku benda itu (kartel) laporkan segera kepada pihak berwajib, terus kepada saya sendiri. Kita akan bagi kerjasama yang terbaik untuk menghadapi perkara ini, kita cuba membantu," ujar beliau.