Malaysia sedia bantu tangani kebakaran hutan, tanah di Indonesia

Pasukan gabungan kebakaran Provinsi Kepulauan Bangka Belitung berjibaku memadamkan kebakaran hutan. - Foto Antara
Pasukan gabungan kebakaran Provinsi Kepulauan Bangka Belitung berjibaku memadamkan kebakaran hutan. - Foto Antara
A
A
A

JAKARTA - Malaysia bersedia untuk bekerjasama menangani kebakaran hutan dan tanah yang sedang melanda di beberapa wilayah di Indonesia sekiranya diperlukan, menurut Kementerian Luar Indonesia.

Tawaran itu terkandung dalam surat rasmi yang dihantar Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada rakan sejawatannya di Indonesia, Siti Nurbaya Bakar.

Jurucakap kementerian, Lalu Muhamad Iqbal menjelaskan surat itu turut mengandungi maklumat berkaitan keadaan kualiti udara semasa di Malaysia.

"Benar... Kerajaan Malaysia sudah mengirim surat kepada Menteri Alam Sekitar,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjawab pertanyaan media mengenai tindak balas kerajaan terhadap surat berkenaan.

Nik Nazmi pada Rabu mengutus surat kepada Indonesia bagi menyelesaikan segera Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

Konsulat Malaysia di Pontianak telah menyumbang enam mesin pam air kepada pemerintah Wilayah Kalimantan Barat pada Ogos untuk pencegahan dan pengawalan kebakaran hutan dan tanah.

Sementara itu, Education Malaysia di Indonesia (EMI) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Di Indonesia (PKPMI) giat memantau keadaan jerebu di Sumatera dan Kalimantan.

Setiap Cawangan PKPMI di Indonesia digesa memberikan maklumat kepada EMI dengan kadar segera sekiranya ada pelajar yang terkesan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga hari ini, pihak kami belum mendapat aduan atau laporan berkenaan pelajar yang terkesan akibat jerebu ini,” kata Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Zulfadhli Hamzah.

Terdapat 543 pelajar Malaysia di Sumatera dan 50 penuntut di Banjarmasin, Kalimantan Selatan. - Bernama